MRR2, Ampang dilanda banjir kilat akibat hujan lebat
Bernama
Jun 23, 2018 23:02 MYT
Jun 23, 2018 23:02 MYT
Beberapa kawasan rendah di pinggir ibu kota terutama di Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) dan Ampang dilanda banjir kilat berikutan hujan lebat lebih dua jam petang tadi.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor ketika dihubungi berkata hujan lebat sejak jam 3 petang menyebabkan kawasan terbabit dinaiki air kira-kira setengah meter.
"Hujan lebat di MRR2 menghala ke Ampang selepas Zoo Negara menyebabkan kesesakan lalu lintas lebih lima kilometer namun keadaan adalah terkawal dan air mulai surut pada jam 7.30 petang," katanya ketika dihubungi.
Beliau berkata di kawasan Lembah Jaya Utara, Ampang di sini, paras air sungai di kawasan berhampiran turut dilaporkan meningkat setinggi satu meter dan masih dalam keadaan terkawal.
Menurutnya, pihak bomba telah diletakkan dalam keadaan bersiap siaga bagi menghadapi sebarang kemungkinan.
Sementara itu, pengguna MRR2, Rosni Malik, 33 tahun, berkata kejadian seperti itu kerap kali berlaku yang menyebabkan ramai pengguna jalanraya terperangkap dalam kesesakan yang panjang.
"Walaupun sesak, sepatutnya 45 minit sudah sampai rumah, tetapi setiap kali hujan mesti lebih lama masa diperlukan kerana banjir kilat serta berlumpur di jalan MRR2.
"Diharap pihak Jabatan Kerja Raya dapat melihat perkara ini, bagi memastikan perkara sebegini tidak terus berulang," katanya.
-- BERNAMA
#Ampang
#banjir
#bomba
#hujan lebat
#Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor
#Jalan Lingkaran Tengah 2
#Lembah Jaya Utara
#mrr2