MRM lancar NadiWilayah, sasar lahirkan 100 usahawan dalam enam bulan

Ridauddin Daud
Disember 1, 2020 18:20 MYT
MRM memperuntukkan dana berjumlah RM500,000 dan mensasarkan untuk mewujudkan 100 usahawan dalam masa enam bulan melalui inisiatif tersebut.- Gambar hiasan/BERNAMA
KUALA LUMPUR : Prihatin dengan kesukaran hidup ramai orang akibat COVID-19, Multiracial Reverted Muslims (MRM) melancarkan NadiWilayah yang akan memberi bantuan mula niaga dan sara diri buat penduduk di Kuala Lumpur dan Putrajaya.
Presidennya, Firdaus Wong berkata, MRM memperuntukkan dana berjumlah RM500,000 dan mensasarkan untuk mewujudkan 100 usahawan dalam masa enam bulan melalui inisiatif tersebut.
“Inisiatif NadiWilayah oleh MRM akan memulakan fasa pertama pada 1 Disember 2020. Sejumlah besar RM500,000 jumlah dana bantuan telah diperuntukkan oleh pihak MRM melalui NadiWilayah.
“Peserta yang terpilih untuk menerima bantuan mula niaga juga akan menerima bantuan sara diri berbentuk barang keperluan dapur bernilai RM300 sebulan selama enam bulan.
“Di samping itu peluang menjana jualan RM15,000 hingga RM25,000 sebulan dengan anggaran pendapatan antara RM1,500 ke RM5,000 sebulan juga akan disediakan buat mereka,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Tambahnya, usaha itu juga seiring dengan inisiatif Kementerian Wilayah Persekutuan yang melancarkan “Wilayah Bebas Berniaga” bermula 15 November lepas.
“MRM melalui NadiWilayah akan memulakan pengambilan dengan menyediakan laman web www.nadiwilayah.my untuk permohonan dalam talian.
“Pemohon hanya perlu mengisi maklumat peribadi dalam laman web ini dan seterusnya menunggu keputusan jika permohonan mereka berjaya.
“Permohonan dibuka untuk semua rakyat Malaysia berumur 21 tahun ke atas tanpa mengira agama & bangsa. Tarikh tutup permohonan adalah pada 6 Disember 2020,” ujarnya.
#MRM #NadiWilayah #wilayah #Kuala Lumpur #Putrajaya #peniaga #bantuan #peruntukan #sara hidup #mula berniaga #COVID-19 #pandemik
;