MRA buka tiga pusat operasi COVID-19 di Sabah
Astro Awani
Oktober 17, 2020 13:44 MYT
Oktober 17, 2020 13:44 MYT
Malaysian Relief Agency (MRA) Sabah membuka tiga pusat operasi COVID-19 bagi tujuan penghantaran bantuan daripada orang awam ke kawasan terjejas.
Tiga pusat operasi itu masing-masing di Tawau, Beaufort dan Kota Kinabalu.
Presidennya, Dr Mohd Daud Sulaiman berkata, pihaknya juga sudah melancarkan Tabung Ops COVID-19 2.0 dan setakat ini berjaya mengumpul sebanyak RM60,000 hasil sumbangan syarikat korporat dan orang persendirian.
Menurutnya, dalam usaha membantu penduduk terjejas, MRA Sabah menyasarkan jumlah sumbangan sebanyak RM200,000 selain barangan berbentuk peralatan perubatan serta makanan menjelang akhir bulan ini.
“Sejak pengumuman Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) awal Oktober lepas, MRA Sabah adalah di antara pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang pertama menghulurkan bantuan sokongan sukarelawan.
“Bantuan MRA mula diagihkan di sekitar Kota Kinabalu, Tuaran, Beaufort, Sipitang, Tawau, Semporna, dan Sandakan. Bantuan ini juga akan dikembangkan ke beberapa kawasan lain bergantung kepada dana serta sumbangan yang diterima,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Tambanya, kumpulan sukarelawan itu masih komited bersama-sama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) membantu melaksanakan saringan dengan menggandakan bilangan operasi dan sukarelawan yang terlibat.
“Dalam masa yang sama MRA Sabah juga melaksanakan beberapa program bukan perubatan yang melibatkan bantuan kepada mereka yang terjejas dengan situasi semasa di Sabah,” ujarnya.
Orang awam dan pihak swasta boleh menghulurkan sumbangan terus ke akaun Malaysian Relief Agency Sabah (Maybank) - 5602 4102 1056.
#MRA Sabah
#Bantuan COVID-19
#MRA Sabah bantuan
#Kawasan PKPD
#kawasan terjejas COVID-19
#Sabah
#perintah kawalan pergerakan
#PKPD
#Dr Mohd Daud Sulaiman
#Presiden MRA Sabah