'Mr Wong' antara yang ditahan susulan penemuan mayat bayi berulat dan kembung dalam gaung

Aizat Sharif
Jun 4, 2014 18:53 MYT
Tiga ditahan untuk bantu siasatan atas kes buang mayat bayi dalam gaung di Genting Highlands
Tiga orang termasuk seorang wanita ditahan berhubung penemuan seorang mayat kanak-kanak lelaki yang dipercayai dibuang di sebuah gaung di Genting Highlands pada akhir bulan lalu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Abdul Samah Mat memberitahu suspek berumur akhir 40an itu ditahan di sekitar Shah Alam pada Selasa dan dipercayai turut terlibat dengan aktiviti pemerdagangan manusia di daerah tersebut.
“Mangsa adalah seorang wanita warganegara Indonesia berumur 33 tahun dan bekerja sebagai seorang tukang pembersih telah membuat laporan polis pada 31 Mei lalu berhubung kehilangan anaknya,” kata Abdul Samah dalam satu kenyataannya kepada media.
Suspek yang ditahan polis itu merupakan majikan kepada mangsa, isteri majikan dan juga rakan majikan.
Menurut mangsa, majikannya yang dikenali sebagai Mr Wong ini adalah merupakan agen yang menguruskan pekerja asing tanpa permit.
Mr Wong telah memaklumkannya bahawa anaknya yang berumur setahun enam bulan itu telah diberikan kepada rakan majikannya itu.
“Difahamkan anaknya itu telah lahir pada 21 November tahun lalu akibat kejadian rogol yang dipercayai dilakukan oleh rakan majikannya itu semasa mangsa dihantar bekerja di rumah rakan majikannya itu,” katanya.
Apabila rakan majikannya itu mengetahui bahawa mangsa telah mengandung, maka dia telah menghantar mangsa pulang semula kepada Mr Wong dan sepanjang tempoh itu, mangsa telah dihantar bertugas dengan beberapa majikan yang lain.
“Mangsa hanya dipulangkan ke Mr Wong apabila mangsa sudah hampir melahirkan anak dan sesudah melahirkan anaknya itu, mangsa tidak bertemu dengan anaknya kerana Mr Wong dikatakan telah membawa anaknya itu ke Genting Highlands.
Selain itu, mangsa telah memaklumkan bahawa terdapat lebih kurang 29 wanita warganegara Indonesia yang bekerja tanpa permit sebagai pembantu rumah jangka pendek dan tidak pernah dibayar gaji mereka.
“Difahamkan pekerja-pekerja ini juga telah dieksploitasikan secara seksual oleh majikan-majikan yang lain termasuk Mr Wong sendiri dan terdapat tiga buah rumah di sekitar Lembah Klang digunakan oleh Mr Wong ini untuk menempatkan dan mengurung semua pekerjanya,”.
Bertindak atas maklumat yang diberikan mangsa, polis turut berjaya menyelamatkan enam orang pekerja yang dikurung dalam salah sebuah rumah itu dan pada pagi tadi pula, polis telah pergi ke lokasi gaung dimana bayi malang itu dibuang.
“Berdasarkan pengakuan daripada suspek, bayi tersebut dikatakan telah meninggal dunia dan mayat bayi itu telah dibuang ke dalam sebuah gaung di Genting Highlands,”.
Mayat bayi itu ditemui polis dalam keadaan berulat dan kembung dipercayai telah reput dan pasukan forensik telah dikerah untuk menjalankan pemeriksaan di tempat tersebut.
Suspek telah direman sehingga 10 Jun untuk membantu siasatan dibawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas tuduhan membunuh.
#bayi #Genting Highlands #mayat #polis #Tahan
;