MQSS medan lahirkan generasi celik al-Quran - KPM

Bernama
Oktober 4, 2024 11:40 MYT
KPM memaklumkan, kontinjen Negeri Sembilan mendominasi tiga anugerah utama MQSS KPM 2024 dengan merangkul Johan Keseluruhan Sekolah Rendah, Johan Keseluruhan Sekolah Menengah dan Johan Keseluruhan MQSS Kebangsaan 2024.
KUALA LUMPUR: Penganjuran Mahrajan Al-Quran Sekolah-Sekolah (MQSS) Peringkat Kebangsaan Tahun 2024 antara inisiatif Kementerian Pendidikan (KPM) dalam merealisasikan usaha melahirkan generasi celik al-Quran.
Pengarah Bahagian Pendidikan Islam KPM Omar Salleh berkata MQSS satu daripada program dakwah dilaksanakan kementerian sebagai aktiviti pembangunan insaniah, modal insan kamil dan pengukuhan kemahiran al-Quran serta syiar Islam dalam bidang pendidikan.
Beliau berkata kemahiran yang ditonjolkan dalam MQSS iaitu pembudayaan al-Quran dan nilai murni bukan bersifat pertandingan atau persaingan mencari seorang juara namun harus digarap dalam kehidupan seharian, khususnya untuk meneguhkan sifat serta akhlak.
"Ia juga medan untuk warga pendidik dan murid berkongsi ilmu, memperkasakan kemahiran membaca serta menghayati ayat-ayat suci al-Quran. Diharapkan lebih ramai anak-anak yang menjadi penyambung generasi al-Quran," katanya dalam kenyataan dikeluarkan KPM hari ini.
Omar berkata demikian dalam ucapannya ketika mewakili Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek pada Majlis Penutupan MQSS yang berlangsung di Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Gopeng di Perak Isnin lepas.
Beliau turut mengucapkan tahniah atas pemilihan tema 'Adab Dan Nilai Menjana Karamah Insaniah' kerana bertepatan dengan saranan KPM yang terus-menerus menegaskan secara konsisten dan istiqamah tentang kepentingan akhlak.
Kenyataan KPM itu turut memaklumkan kontinjen Negeri Sembilan mendominasi tiga anugerah utama MQSS KPM 2024 dengan merangkul Johan Keseluruhan Sekolah Rendah, Johan Keseluruhan Sekolah Menengah dan Johan Keseluruhan MQSS Kebangsaan 2024.
-- BERNAMA
#Kementerian Pendidikan #MQSS #Omar Salleh #Al-Quran
;