MQA, UMSU meterai MoU tubuh Pusat Penilaian APEL antarabangsa pertama di Indonesia

Astro Awani
Julai 21, 2023 14:09 MYT
Mohamed Khaled (tengah) berkata, pendidikan tinggi Malaysia diperluas di luar negara melalui penubuhan Pusat Penilaian APEL di Indonesia.
SEPANG: Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) menubuhkan Pusat Penilaian Pengakreditan Pembelajaran Berasaskan Pengalaman Terdahulu (APEL) pertama di luar negara dengan kerjasama Universitas Muhammadiyah Sumatera Utara (UMSU).
Ketua Pegawai Eksekutif MQA, Prof Datuk Mohammad Shatar Sabran berkata, kerjasama yang dimeterai menerusi memorandum persefahaman (MoU) itu bakal menyaksikan laluan APEL bagi Tujuan Penganugerahan Kredit (APEL.C) ditawarkan di UMSU yang berpangkalan di Medan, Indonesia.
Beliau berkata, inisiatif MQA dengan UMSU itu bakal memperluas akses pendidikan dalam kalangan masyarakat di sekitar Sumatera Utara khasnya dan seramai 135 juta tenaga kerja di Indonesia umumnya untuk meningkatkan kelayakan akademik masing-masing.
Katanya, inisiatif hasil perkongsian pihaknya dengan UMSU itu juga mempromosikan agenda pendidikan fleksibel dan pengajian sepanjang hayat (PSH) yang sering diuar-uarkan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin kerana universiti di kedua-dua negara mempunyai potensi tinggi berdasarkan keserumpunan bahasa dan budaya.
"Pemeteraian MoU ini membuktikan Malaysia menerusi MQA menjadi rujukan di arena antarabangsa terutama dalam pelaksanaan PSH dan pendidikan fleksibel dan kami akan sentiasa memberi sokongan, khidmat rundingan dan panduan kepada IPT sama ada di Malaysia mahu pun luar negara untuk melaksanakan APEL kerana pasaran APEL ini sangat besar.
"Usaha UMSU untuk menjadi Pusat Penilaian APEL sudah diperhalusi dalam perbincangan dengan pihak berkuasa Indonesia dan badan akreditasinya, Badan Akreditasi Nasional Pergurusan Tinggi (BAN-PT) pada hujung tahun lalu," katanya dalam satu kenyataan di sini.
Beliau berkata demikian sempena majlis pertukaran MoU yang diadakan di Jakarta bersempena Lawatan Kerja Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled ke Indonesia.
Dokumen MoU itu ditandatangani Mohammad Shatar mewakili MQA dan UMSU diwakili Rektornya, Prof. Agussani.
Pertukaran MoU itu disaksikan Mohamed Khaled; Duta Besar Malaysia ke Indonesia, Datuk Syed Md Hasrin Tengku Hussin @ Syed Hussin dan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Prof Azlinda Azman.
Sementara itu, Agussani berkata, kerjasama pihaknya dengan MQA menerusi MoU itu merupakan sejarah buat kedua-dua pihak dalam usaha meningkatkan kualiti pendidikan tinggi selaras dengan visi pengantarabangsaan UMSU.
"Diharap kerjasama ini dapat dilanjutkan dengan pelaksanaan program yang melahirkan karya untuk kemajuan kedua-dua pihak, pelaksanaan program dan kegiatan bersama,” katanya.
#MQA #APEL #Indonesia #Mohamed Khaled Nordin
;