MQA perkenalkan laluan APEL kepada UAE

Astro Awani
Mac 4, 2022 20:45 MYT
UAE menyatakan hasrat itu ketika mesyuarat kumpulan kerja bersama antara Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan Kementerian Pendidikan UAE. - MQA
KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan Emiriah Arab Bersatu (UAE) berminat untuk menjalin kerjasama membabitkan Penilaian Akreditasi Pembelajaran Pengalaman Terdahulu (APEL) dengan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).
Ketua Pegawai Eksekutif MQA, Prof Datuk Mohammad Shatar Sabran, berkata perkara itu dinyatakan wakilnya ketika mesyuarat kumpulan kerja bersama antara Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan Kementerian Pendidikan UAE.
Katanya, UAE mempunyai inisiatif setara iaitu mengiktiraf pengalaman lampau individu digunakan untuk menyambung pengajian di institusi pengajian tinggi (IPT), biarpun berbeza nama, namun konsepnya sama.
"Kita melihat potensi sangat besar untuk APEL di UAE dan negara sekitarnya, justeru diharap ia akan mendapat sambutan baik di negara Asia Barat ini.
"Pengenalan APEL kepada UAE akan menggalakkan masyarakat di negara itu untuk menyambung pengajian dengan IPT Malaysia," katanya selepas mesyuarat dalam talian dengan wakil Kementerian Pendidikan UAE, baru-baru ini.
Mesyuarat itu turut dihadiri Pengarah Suruhanjaya Akreditasi Akademik untuk Pengajian Tinggi, Kementerian Pendidikan UAE, Prof Dr Mohamed Baniyas; Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif MQA, Prof Khairul Salleh Mohamed Sahari; Pengarah Kanan (Pembangunan Dasar dan Kepakaran) MQA, Mohamad Dzafir Mustafa; Pengarah Kanan (Akreditasi) MQA, Lilian Kek Siew Yick dan Pengarah Jabatan Penyetaraan Sijil UAE, Dr Sameera Almulia.
Mohammad Shatar berkata, APEL.A adalah bagi tujuan akses atau kemasukan ke program pengajian tinggi; APEL.C ialah anugerah kredit berdasarkan pengalaman terkumpul untuk mendapatkan pemindahan kredit untuk kursus dalam program, manakala APEL.Q bagi tujuan anugerah kelayakan akademik.
Mengulas lanjut, Mohammad Shatar berkata, berdasarkan perbincangan awal, pihak UAE sangat berminat untuk mengadakan kerjasama berkaitan APEL dan mengetahui lebih lanjut inisiatif lain yang dijalankan oleh MQA.
"APEL.C dan APEL.Q bukan hanya disediakan untuk pelajar tempatan, pasarannya luas di arena pengajian tinggi antarabangsa, justeru IPT tempatan disaran merebut peluang untuk menjadi Pusat Penilaian APEL.
"Usaha ini akan dapat membantu merealisasikan hasrat KPT untuk menjadikan Malaysia sebagai hab pendidikan global seterusnya menarik minat 250,000 pelajar antarabangsa ke negara ini," katanya.
#Malaysia #UAE #APEL #MQA
;