MQA mahu turun padang ke IPT seluruh negara
Astro Awani
Mac 27, 2021 22:01 MYT
Mac 27, 2021 22:01 MYT
KUALA LUMPUR: Dalam usaha mewujudkan ekosistem jaminan kualiti pengajian tinggi terbaik, Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) mengambil langkah proaktif turun padang ke institusi pengajian tinggi (IPT).
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran, berkata pihaknya akan mengadakan jelajah ke IPT seluruh negara tahun ini membabitkan 20 universiti awam (UA) dan lebih 400 IPT swasta.
Katanya, siri jelajah yang menjadi satu daripada Agenda Era Baharu MQA itu akan dilakukan mengikut zon.
"Program jelajah ini akan memberi peluang kepada warga IPT untuk mengetahui dengan lebih jelas akan fungsi MQA, produk ditawarkan kami serta peluang yang boleh direbut oleh IPT serta masyarakat setempat.
"Semua perkongsian boleh dilakukan menerusi sesi soal jawab atau ramah mesra bersama-sama MQA," katanya pada sesi lawatan pertama siri jelajah pertama MQA di Management and Science University (MSU), dekat sini.
Yang turut hadir pada lawatan itu, Presiden MSU, Prof Tan Sri Dr Mohd Shukri Ab Yajid dan Naib Canselor MSU, Prof Puan Sri Dr Junainah Abd Hamid.
Mengulas lanjut, Mohammad Shatar berkata, pihaknya juga giat berusaha untuk pengurusan akreditasi program IPT tempatan di cawangan luar negara menerusi jaringan agensi akreditasi antarabangsa.
Katanya, inisiatif terbaharu pihaknya itu bagi memudahkan IPT tempatan menghantar pelajar ke luar negara.
"Dengan adanya kerjasama global ini, graduan Malaysia boleh bekerja di mana sahaja kerana kualiti pendidikan mereka yang dijamin MQA," katanya.
Sementara itu, Mohd Shukri menyifatkan usaha jelajah dilakukan MQA itu sebagai satu langkah yang menarik kerana memberi ruang untuk berbicang secara dekat dengan IPT terutama membabitkan perihal akreditasi.
"Tahniah kepada MQA kerana mencetuskan inisiatif turun padang ini kerana ia adalah sesuatu yang harus dilakukan untuk kecemerlangan bersama pengajian tinggi," katanya.