MQA mahu kukuh peranan di persada global
Astro Awani
Februari 24, 2021 23:17 MYT
Februari 24, 2021 23:17 MYT
KUALA LUMPUR: Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) mahu mengukuhkan peranannya di peringkat antarabangsa dalam memberikan akreditasi pendidikan tinggi.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran, berkata hal itu mampu dicapai dalam tempoh tiga tahun berdasarkan empat strategi yang digariskan pihaknya terutama menerusi jalinan kerjasama dengan agensi kualiti pendidikan tinggi global.
Katanya, langkah itu akan membantu negara terutama membabitkan kebolehpasaran graduan di peringkat antarabangsa.
"Kini, kebolehpasaran graduan tempatan sudah mencapai 80 peratus, namun jumlah itu boleh dipertingkatkan lagi sekiranya kita mempunyai jaringan lebih luas di luar negara.
"Dengan adanya kerjasama global ini, graduan Malaysia boleh bekerja di mana sahaja kerana kualiti pendidikan mereka yang dijamin MQA," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucapa pada Majlis Amanat Ketua Pegawai Eksekutif MQA 2021: Era Baharu MQA, di Mercu MQA, di Cyberjaya, hari ini.
Selain itu, Mohammad Shatar berkata, MQA juga merancang memperkasa inisiatif pengantarabangsaan lain seperti jaringan kualiti di peringkat Asia Pasifik, mengiktiraf dwisijil di lingkungan Asia Tenggara dan inisiatif kampus luar negara universiti awam atau swasta.
"Kita mahu pengaruh kita ada di serata dunia dan jenama MQA dikenali di arena pendidikan tinggi dunia.
"Inisiatif ini juga akan meningkatkan keterlihatan negara dalam usaha untuk menjadi hab pendidikan tinggi di rantau ini," katanya.
Mohammad Shatar berkata, antara inisiatif lain yang turut diberikan penekanan MQA termasuk pelaksanaan segera dan pegesahan akreditasi program pengajian yang lebih cepat tanpa berkompromi dengan kualiti.
Sebelum ini katanya, MQA sudah berjaya memendekkan tempoh masa pemberian akreditasi sesuatu program dari tujuh bulan menjadi sembilan minggu sahaja.
"Kecemerlangan proses akreditasi ini akan diteruskan biarpun dengan keadaan dunia dilanda wabak COVID-19.
"Kami tetap menjalankan akreditasi walaupun secara maya dan institusi yang dinilai perlu menyediakan pelbagai kaedah pembuktian yang diperlukan termasuk pembentangan dalam talian secara langsung kepada MQA," katanya.
#MQA
#Agensi Kelayakan Malaysia
#Global
#antarabangsa
#memperkukuhkan
#pendidikan tinggi
#Dr Mohammad Shatar Sabran
#CEO