MQA lancar e-MAS, platform bersepadu sistem akreditasi pendidikan tinggi negara

Pia Ernadya
April 22, 2024 18:30 MYT
Mustapha (tengah) sewaktu pelancaran Electronic MQA Accreditation System atau singkatannya, e-MAS hari ini. - Foto Facebook Kementerian Pendidikan Tinggi
PUTRAJAYA: Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) melancarkan sistem akreditasi untuk membolehkan permohonan akreditasi dibuat sepenuhnya secara atas talian iaitu menerusi Electronic MQA Accreditation System atau singkatannya, e-MAS.
Melalui e-MAS ini, MQA akan menggabung dan mengintegrasikan kesemua modul-modul pengurusan berkaitan jaminan kualiti dan akreditasi untuk mewujudkan satu platform bersepadu yang memberi nilai tambah dan kemudahan kepada Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) di negara ini.
Menurut Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Mustapha Sakmud, selaku badan tunggal yang mengawal selia jaminan kualiti pendidikan tinggi negara, KPT sentiasa menggalakkan MQA untuk mempelopori organisasi jaminan kualiti terutama di Asia Tenggara dan Asia Tengah.
"Melalui Amanat Tahun Baru Kementerian Pendidikan Tinggi Tahun 2024, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abd Kadir telah menggariskan lima fokus Utama KPT (dan) salah satunya ialah pemantapan ekosistem pemboleh daya.
"Melalui inisiatif ini, KPT menyasarkan untuk memperhebat ekosistem pendigitalan dalam semua proses dan prosedur untuk meningkatkan aksesibiliti dan kebolehcapaian maklumat kepada umum," katanya ketika berucap pada majlis tautan kasih MQA pada Isnin.
Dalam majlis yang sama, MQA turut memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Badan Akreditasi Nasional Perguruan Tinggi (BAN-PT) Indonesia.
"..Dan hari ini kita bakal menyaksikan pemeteraian MoU antara dua badan jaminan kualiti yang bakal memudah cara elemen pengiktirafan bersama (mutual recognition) sekali gus memberi impak positif kepada para pelajar Indonesia yang melanjutkan pengajian di Malaysia dan begitu juga pelajar Malaysia yang melanjutkan pengajian di Indonesia," ujarnya.
MQA diwakili oleh Ketua Pengawai Eksekutif MQA, Datuk Prof Mohammad Shatar Sabran dan BAN-PT diketuai Pengarah Dewan Eksekutifnya, Ari Purbayanto.
Shatar Sabran turut berkata bahawa peranan Indonesia ini sangat luar biasa dan sekali gus melonjak imej pendidikan tinggi di negara ini.
"Insya-Allah saya dengan Pak Ari sentiasa akan bekerjasama antara satu sama lain kerana kami tahu pegangan tangan yang kuat diantara MQA dan BAN-PT ini mampu melonjakkan bukan sekadar pendidikan tinggi Malaysia tetapi juga di dua buah negara ini," jelasnya.
#BAN-PT #MQA #KPT #Zambry Abd Kadir
;