MQA bidas dakwaan kursus IPT tak relevan, punca graduan menganggur
Astro Awani
April 9, 2021 22:07 MYT
April 9, 2021 22:07 MYT
KUALA LUMPUR: Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) membidas dakwaan yang mengatakan kursus ditawarkan institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan tidak relevan dan menjadi antara punca graduan menganggur.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran, berkata tuduhan tidak berasas sebuah persatuan yang dilaporkan dalam sebuah akhbar perdana itu mengundang persepsi negatif terhadap kualiti pengajian tinggi negara.
Katanya, setiap program yang ditawarkan IPT menjalani proses penilaian jaminan kualiti yang ketat daripada MQA dan akan disemak semula setiap lima tahun sekali.
"Setiap program yang dibangunkan oleh IPT akan dinilai oleh MQA melalui tujuh aspek kualiti berdasarkan Kod Amalan Akreditasi Program.
"Kod itu ialah Rekabentuk dan Penyampaian Program, Penilaian Pelajar, Pemilihan dan Khidmat Sokongan Pelajar, Staf Akademik, Sumber Pendidikan, Pengurusan Program serta Pemantauan dan Penambahbaikan Kualiti Berterusan," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Sebelum ini, ada persatuan mendakwa kursus yang ditawarkan di IPT sama ada awam atau swasta yang berisiko menyumbang kepada peningkatan kadar pengangguran terutama yang didapati tidak relevan dengan tuntutan semasa adalah sains sosial, sastera, sains tulen dan pengajian Islam.
Mengulas lanjut, Mohammad Shatar berkata, setiap program memberi penekanan kepada pencapaian hasil pembelajaran pelajar yang mengandungi ciri-ciri graduan yang ingin dilahirkan.
Katanya, selain menguasai ilmu disiplin dan kemahiran bidang, kurikulum yang dibangunkan juga meliputi kemahiran insaniah yang terangkum dalam aspek penyampaian dan penilaian pelajar.
"Ini termasuk kemahiran berkomunikasi, bekerja sepasukan, kemahiran digital, ciri keusahawanan, etika dan profesionalisme.
"Pembangunan program standard MQA yang digunakan dalam penilaian turut melibatkan input pakar bidang disiplin dan industri, malah turut menggariskan keperluan minimum dalam bidang pengajian berkenaan.
"Selain itu, MQA juga membenarkan fleksibiliti kepada IPT untuk mengolah kurikulum bagi memastikan kerelevanan ilmu dalam bidang tersebut," katanya.
#MQA
#Agensi Kelayakan Malaysia
#Institusi Pengajian Tinggi
#graduan
#Mohammad Shatar Sabran
#IPT
#Kod Amalan Akreditasi Program