MPV rempuh pokok: Seorang lagi mangsa meninggal dunia selepas 18 jam bertarung nyawa
Dewi Nur Harasha Alias
Mac 2, 2022 15:55 MYT
Mac 2, 2022 15:55 MYT
TASEK GELUGOR: Seorang lagi mangsa kemalangan jalan raya melibatkan kenderaan pelbagai guna (MPV) yang terbabas melanggar pokok di Guar Petai, Tasek Gelugor dilaporkan meninggal dunia hari ini.
Mangsa perempuan berusia 14 tahun itu menghembuskan nafas terakhirnya pada jam 2.30 pagi tadi ketika menerima rawatan di Hospital Seberang Jaya (HSJ).
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Mohd. Radzi Ahmad memaklumkan, hasil bedah siasat mendapati mangsa meninggal dunia akibat kecederaan parah di kepala.
"Mangsa mengalami kecederaan parah dan menerima rawatan di HSJ namun disahkan meninggal dunia 2.30 pagi tadi.
"Mangsa adalah sepupu kepada si mati pertama dan adik kepada pemandu MPV," katanya ketika dihubungi hari ini.
Sementara itu, difahamkan jenazah kedua-dua mangsa yang juga pelajar sebuah pusat tahfiz berdekatan lokasi kejadian akan dikebumikan di Padang Serai, Kedah dan Sungai Dua, Butterworth.
Pada Selasa, Astro AWANI melaporkan seorang pelajar perempuan maut, manakala empat yang lain cedera selepas Toyota Avanza dinaiki mereka terbabit kemalangan.
Dalam kejadian kira-kira jam 8 pagi itu, pemandu dipercayai telah hilang kawalan sebaik melalui selekoh jalan berkenan dan terbabas ke kanan jalan sebelum merempuh sebatang pokok.
Mangsa yang berada di tempat duduk penumpang hadapan maut di lokasi kejadian manakala empat yang lain mengalami kecederaan, manakala empat yang lain cedera dan dihantar ke Hospital Kepala Batas untuk rawatan lanjut.