MPV rempuh penunggang motosikal bukan di Jalan Tun Razak
Sinar Harian
Jun 19, 2019 22:52 MYT
Jun 19, 2019 22:52 MYT
SATU klip video berdurasi 1:05 minit tular di media sosial memaparkan satu kejadian kemalangan melibatkan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) yang merempuh pengguna motosikal di sebuah terowong didakwa berlaku di ibu kota.
Menerusi klip video terbabit, kenderaan MPV tersebut dilihat dipandu laju sebelum merempuh beberapa penunggang motosikal yang sedang berteduh di terowong terbabit.
Malah, seorang penunggang motosikal turut dikesan tercampak ke tengah jalan selepas dirempuh oleh kenderaan MPV tersebut.
"Terowong Jalan Tun Razak. Jangan berhenti di kawasan bahaya. Biar basah janji sampai rumah, bukan hospital. Ride safely and safety first," tulisnya.
FAKTA
Menerusi semakan Sinar Harian mendapati kejadian tersebut bukannya berlaku di Jalan Tun Razak seperti didakwa oleh pihak berkenaan.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur (JSPTKL), Asisten Komisioner Zulkifli Yahya mengesahkan bahawa kejadian tersebut berlaku di luar negara dan bukannya di Malaysia.
Beliau berkata, menerusi semakan dilakukan oleh pihaknya mendapati jenis motosikal dan nombor pendaftaran kenderaan tersebut juga adalah dari negara luar.
"Bukan Malaysia. Nombor pendaftaran dan jenis motosikal itu bukan dari negara ini," katanya kepada Sinar Harian.
Tambah Zulkifli, pihaknya turut menyarankan orang ramai agar tidak menyebarkan sebarang berita tidak sahih sebelum mendapat pengesahan daripada pihak berwajib.
#kemalangan
#Media
#media sosial
#MPV
#penunggang motosikal yang sedang berteduh
#tercampak ke tengah jalan