MPV rempuh lima kenderaan, seorang penunggang motosikal maut

Sinar Harian
Februari 3, 2025 11:00 MYT
Keadaan MPV yang terlibat dalam kemalangan di Jalan Hulu Langat - Ampang pada Ahad. - Foto Sinar Harian
KAJANG: Seorang penunggang motosikal maut manakala lima lagi cedera dalam kemalangan membabitkan enam kenderaan di Jalan Hulu Langat - Ampang, di sini, pada Ahad.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, siasatan awal mendapati semasa kejadian pada jam 4.45 petang, empat buah motosikal serta sebuah kereta dari arah Hulu Langat menghala ke Ampang.
"Sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Perodua Alza yang datang dari arah Ampang telah masuk ke laluan bertentangan dan merempuh kelima-lima kenderaan sehingga menyebabkan salah seorang penunggang motosikal tercampak dan jatuh di tepi jalan," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Naazron berkata, akibat dari kemalangan itu, mangsa dikenal pasti sebagai Aysar Zahran Saiful Alimin, 20, yang menunggang sebuah motosikal disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
"Lima lagi penunggang dan pembonceng motosikal yang lain dibawa ke Hospital Ampang untuk mendapat rawatan.
"Pemandu kedua-dua kereta tidak mengalami sebarang kecederaan. Kesemua mereka yang terlibat kemalangan berusia 17 hingga 38 tahun," katanya.
Naazron berkata, punca kejadian belum diketahui.
"Seorang lelaki berusia 27 tahun yang memandu Perodua Alza telah ditahan, kenderaan akan dihantar ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) dan Jabatan Kimia untuk siasatan lanjut," katanya.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu boleh menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Narolhisyam Endi di talian 019-5897115.
"Pihak polis menasihatkan kepada pengguna jalan raya supaya mengamalkan pemanduan yang berhemah, sentiasa mematuhi peraturan jalan raya dan berhati-hati semasa memandu," katanya. - Sinar Harian
#Nahas #motosikal #laluan bertentangan #MPV
;