MPV dirempuh, datuk dan cucu maut kemalangan di LPT
Noraniza Kamsani
Jun 23, 2018 12:04 MYT
Jun 23, 2018 12:04 MYT
Seorang lelaki warga emas dan cucunya maut selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) Perodua Alza dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan di Kilometer 233.6 Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) berhampiran Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Kuantan di sini, tengah malam tadi.
Kejadian pukul 12.05 tengah malam itu, menyebabkan kedua-dua mangsa iaitu Hamzah Hitam, 77 dan cucunya Muhammad Hairi Kosni, 18, maut di tempat kejadian akibat kecederaan di kepala.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Negeri, Superintendan Kamarulzaman Jusoh berkata, kemalangan dipercayai berlaku ketika MPV dinaiki lima sekeluarga termasuk mangsa yang maut dalam perjalanan dari Rengit Johor ke Kelantan.
"Ketika sampai ditempat kejadian, pemandu MPV berkenaan, Kosni Kamit, 54, dikatakan memperlahankan kenderaan sebelum dirempuh Toyota Hilux yang datang dari arah belakang.
"Akibat rempuhan kuat, MPV itu menggelongsor lalu melanggar sebuah lagi MPV yang berada di hadapan di lorong kiri jalan.
"Ini mengakibatkan kedua-dua mangsa yang duduk bahagian belakang maut serta merta di tempat kejadian," katanya.
Kamarulzaman berkata, punca kejadian masih dalam siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1)Akta Pengangkutan Jalan 1987.