MPT laksana myPATIL, banteras isu perniagaan tanpa lesen

Aida Aziz
Jun 27, 2023 07:30 MYT
Sistem myPATIL antara lain merupakan usaha membanteras isu pemalsuan lesen, duplikasi lesen serta aktiviti perniagaan tanpa lesen, yang berleluasa mutakhir ini. - Foto MPT
TAIPING: Majlis Perbandaran Taiping (MPT) akan melaksanakan Lesen Premis Digital (myPATIL) mulai Julai ini dengan sasaran awal kepada 7,000 premis perniagaan berlesen.
Yang Dipertuanya, Khairul Amir Mohamad Zubir berkata, pelaksanaan sistem tersebut akan dilakukan secara berperingkat di kawasan operasi MPT.
Jelasnya, myPATIL adalah lesen premis digital pertama di Malaysia yang berasaskan teknologi pintar Internet of Things (IoT).
"Ia bagi menggantikan kaedah lesen konvensional dalam bentuk kertas dan papan lesen sedia ada di semua premis perniagaan berlesen.
"Dengan pelaksanaan myPATIL, diyakini ia mampu memberi impak positif dalam kalangan peniaga.
"Antaranya, memudahkan urusan memperbaharui lesen dan urusan perniagaan lain dengan hanya menggunakan aplikasi tersebut di telefon pintar," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Penuh Bilangan Empat di Wisma Perbandaran Taiping, di sini, semalam.
Khairul Amir berkata, aplikasi itu juga secara tidak langsung mempercepat proses pembaharuan lesen tanpa perlu ke kaunter MPT.
Selain itu, katanya, ia sebagai usaha membanteras isu pemalsuan lesen, duplikasi lesen serta aktiviti perniagaan tanpa lesen yang sudah berleluasa akhir-akhir ini.
"Bagi permulaan pelaksanaan myPATIL, pemasangan dikenakan bayaran sebanyak RM10 dan bayaran perkhidmatan RM40 bagi tempoh setahun.
"Anggota penguat kuasa akan mengiringi syarikat pembekal bagi memasang peralatan ini dan bayaran tidak perlu dijelaskan di tapak, sebaliknya dijelaskan dalam talian," katanya lagi.
Beliau menambah, myPATIL merupakan inisiatif kerajaan negeri dalam pelan Perak Sejahtera 2030 dan salah satu fokus kerajaan negeri tahun 2023 dalam keterangkuman inisiatif serta infrastruktur digital.
Sementara itu, dalam perkembangan berasingan, Khairul Amir berkata, 20 haiwan ternakan yang berkeliaran telah ditangkap bagi tempoh Januari hingga Mei.
"10 ekor lembu, empat kerbau dan enam kambing telah ditangkap. Hasil tuntutan dari pemilik ternakan adalah sebanyak RM32,650.
"Hasil lelongan daripada jualan haiwan ternakan berkeliaran adalah RM9,350. Jumlah keseluruhan hasil tuntutan dan lelongan adalah sebanyak RM42,000," katanya.
#myPATIL #Majlis Perbandaran Taiping #Premis perniagaan #infrastruktur digital
;