MPSJ arah pemaju di Putra Heights henti kerja
Astro Awani
Januari 3, 2013 06:54 MYT
Januari 3, 2013 06:54 MYT
Kejadian tanah runtuh di Putra Heights, Subang Jaya petang semalam dipercayai berpunca akibat kerja-kerja pembinaan projek perumahan Kingsley Hills.
Projek itu milik syarikat pemaju MCT Consortium.
Majlis Perbandaran Subang Jaya dalam reaksi segeranya mengarahkan projek berkenaan dihentikan serta-merta. Tindakan itu bagi membolehkan satu siasatan terperinci dibuat mengenal pasti punca kejadian.
Projek perumahan Kingsley Hills bermula awal tahun lepas dan dijangka siap dalam tempoh lima tahun.
Projek perumahan berkembar itu terletak di atas sebuah tanah seluas 40 hektar di atas bukit.
Dalam kejadian itu, lima buah kereta, sebuah van dan sebuah motosikal tertimbus dalam banjir lumpur akibat tanah runtuh berkenaan. Bagaimanapun, semua pemilik kenderaan itu terselamat.