MPSJ arah bersihkan longkang tersumbat akibat tanah runtuh

Bernama
Januari 4, 2013 18:46 MYT
Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) mengarahkan pemaju projek perumahan di Persiaran Putra Bahagia di Putra Heights dekat sini memastikan longkang di kawasan sekitar tidak tersumbat dengan lumpur ekoran tanah runtuh di situ semalam.
Ini bagi mengelakkan banjir kilat jika berlaku hujan berterusan di kawasan itu, kata Yang Dipertua MPSJ Datuk Asmawi Kasbi ketika meninjau kerja pembersihan runtuhan tanah yang menyebabkan lima kereta dan masing-masing sebuah van dan motosikal tertimbus dalam kejadian 6.05 petang semalam.
Bagaimanapun tiada kemalangan jiwa berlaku.
Asmawi berkata pemaju Kingsley Hills Sdn Bhd telah menghentikan sementara pembinaan rumah jenis semi-D, banglo dan kondominium di situ bagi membolehkan kerja pembersihan runtuhan berjalan lancar.
Jalan utama menuju ke Persiaran Putra Bahagia dijangka dibuka kepada lalu lintas esok.
Beliau berkata MPSJ juga akan berbincang dengan pemaju berhubung langkah untuk memastikan kawasan tersebut selamat serta bayaran ganti rugi kepada pemilik kenderaan.
"Tanah tersebut runtuh kemudian memasuki ke dalam kolam takungan air berhampiran dan menyebabkan kolam itu pecah. Air dan campuran lumpur tersebut melimpah ke jalan raya yang mana jarak antara kolam dan jalan kira-kira 20 meter," katanya.
Katanya Institut Kerja Raya Malaysia (IKRAM) dilantik untuk menyiasat punca berlaku tanah runtuh, manakala pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) dinasihatkan mengawasi kawasan itu bagi mengelakkan gangguan bekalan elektrik kerana terdapat menara pencawang elektrik berhampiran lokasi itu.
#MPSJ #Putra Heights #tanah runtuh
;