MPPK sambut baik pengumuman kerajaan benarkan pelajar IPT pulang ke rumah secara berperingkat

Bernama
April 24, 2020 00:08 MYT
Amir Asyraf menasihatkan pelajar supaya membuat persediaan yang lengkap untuk memastikan semua urusan berjalan dengan lancar. - Gambar Sinar Harian
Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK), menyambut baik pengumuman kerajaan membenarkan penuntut institusi pengajian tinggi (IPT), yang terkandas di kampus atau yang menyewa di luar kampus, pulang ke rumah masing-masing bermula Isnin ini.
Presidennya Muhammad Amir Asyraf Mohd Sabri berkata, MPPK yakin kerajaan telah menyediakan satu Prosedur Operasi Standard (SOP) terbaik bagi memastikan pelajar dapat pulang ke kampung halaman secara berperingkat, tertib, selamat dan tidak terdedah dengan risiko COVID-19.
"Hal ini kerana pelajar terlibat akan menjalani saringan gejala sebelum menaiki bas dan dibekalkan makanan serta penutup hidung dan mulut, manakala semua kos penghantaran pelajar ditanggung kerajaan.
"Pergerakan akan dilakukan secara berperingkat-peringkat dengan hanya melibatkan perjalanan ke zon hijau sahaja. Pelajar dari kampus akan terus dihantar ke balai polis atau pejabat daerah masing-masing sebelum dihantar pulang ke rumah, oleh pihak berkuasa," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Sementara itu, Amir Asyraf menasihatkan pelajar supaya membuat persediaan yang lengkap untuk memastikan semua urusan berjalan dengan lancar, terutamanya pelajar Sabah dan Sarawak yang ingin pulang ke negeri masing-masing dan begitu juga sebaliknya.
Beliau turut menasihati semua pelajar untuk membuat pertimbangan yang baik, sama ada memilih untuk pulang ke kampung halaman atau kekal berada dikampus.
-- BERNAMA
#COVID-19 #kerajaan #MPPK #Muhammad Amir Asyraf Mohd Sabri #pelajar #polis #rumah #SOP
;