MPPK sambut baik keputusan pembukaan semula IPT
Astro Awani
Julai 8, 2020 18:53 MYT
Julai 8, 2020 18:53 MYT
MAJLIS Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) menyambut baik keputusan berhubung pembukaan semula institusi pengajian tinggi (IPT) secara berperingkat seperti diumumkan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr Noraini Ahmad.
Presidennya, Muhammad Amir Asyraf Mohd Sabri berkata, MPPK juga bersetuju dengan keputusan kementerian yang memberi fleksibiliti kepada IPT dalam menentukan mod pembelajaran yang bersesuaian.
Menurutnya, ia termasuklah meneruskan pengajaran dan pembelajaran secara dalam talian kepada pelajar yang terlibat mengikut keperluan program masing-masing.
“MPPK juga menyambut baik pengumuman kemasukan pelajar sepenuhnya adalah pada Oktober 2020. Pelajar perlu membuat persediaan sebaik mungkin sebelum kembali ke kampus.
“MPPK ingin menzahirkan ucapan terima kasih kepada kementerian kerana prihatin mengenai beberapa masalah yang mungkin terpaksa dihadapi oleh sebahagian pelajar khususnya berkaitan isu penginapan dan tiket penerbangan untuk kembali ke kampus,” katanya.
Tambahnya, pelajar yang pulang ke kampus diminta untuk terus mengamalkan penjarakan sosial dan sentiasa mengamalkan kebersihan diri.
“Semua aktiviti sukan dan riadah perlu mematuhi SOP yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia, Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS).
“Bagi pelajar antarabangsa, mereka perlu mendaftar dengan pihak Education Malaysia Global Services perlu mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) dan garis panduan yang telah ditetapkan kerajaan dari semasa ke semasa,” ujarnya.
Astro AWANI pada Rabu melaporkan pelajar IPT akan memulakan pengajian mereka semula pada Oktober 2020.
Tambahnya, empat lagi kategori pelajar IPT akan ke kampus secara berperingkat mulai Julai 2020.
Katanya, kumpulan ini merupakan tambahan kepada lima kategori pelajar yang telah diberi kebenaran sebelum ini.
#Astro Awani
#Belia
#education
#Institusi Pengajian Tinggi
#IPT
#KBS
#Kementerian Belia dan Sukan
#Kementerian Kesihatan
#kerajaan
#keselamatan
#kesihatan
#Malaysia
#menteri
#pelajar
#penerbangan
#pengajaran dan pembelajaran
#penjarakan sosial
#SOP
#sukan