MPPD sita khemah di Pantai Telok Kemang Port Dickson

Bernama
Oktober 9, 2024 14:00 MYT
MPPD berkata, tindakan ini adalah hasil operasi pemantauan dan kawalan khemah biru di pantai berkenaan oleh anggota penguat kuasa MPPD pada 5 dan 6 Okt lepas. - Gambar/ MPPD
SEREMBAN: Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) menyita sembilan unit khemah biru yang dipasang tanpa penyewa di sekitar Pantai Telok Kemang, Port Dickson dekat sini.
MPPD dalam kenyataan di Facebook memaklumkan bahawa tindakan ini adalah hasil operasi pemantauan dan kawalan khemah biru di pantai berkenaan oleh anggota penguat kuasa MPPD pada 5 dan 6 Okt lepas.
"Hasil pemantauan tersebut, sembilan unit khemah bersaiz 10'x10' yang dipasang tanpa penyewa telah disita. Tindakan penguatkuasaan seperti ini dijalankan secara berkala dan berterusan," menurut kenyataan itu hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan bahawa Kerajaan Negeri Sembilan akan berbincang dengan pengusaha khemah di sekitar Pantai Telok Kemang dalam waktu terdekat, susulan isu deretan khemah sewa di kawasan itu yang didakwa mengganggu pemandangan orang ramai.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Negeri Sembilan Nicole Tan Lee Koon berkata pelbagai aspek akan dinilai sebelum membuat keputusan memandangkan kebanyakan pengusaha telah lama beroperasi dan menjalankan perniagaan di situ.
-- BERNAMA
#MPPD #Port Dickson #khemah biru #sewa khemah haram
;