Mpox: 2.64 juta pengembara disaring, tiada kes disyaki - KKM

Bernama
Ogos 28, 2024 12:00 MYT
Pengembara dari negara berisiko dinasihatkan membuat pemantauan kesihatan kendiri dalam tempoh 21 hari dari tarikh ketibaan. - Gambar hiasan/BERNAMA
PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan tiada kes disyaki mpox dikesan daripada hampir 2.64 juta pengembara yang disaring di pintu masuk antarabangsa sejak 16 Ogos hingga semalam.
Menurut KKM, sebanyak 33 kes disyaki mpox dilaporkan di fasiliti kesihatan iaitu 32 kes disahkan negatif dan satu kes masih menunggu keputusan makmal.
Pengembara dari negara berisiko dinasihatkan membuat pemantauan kesihatan kendiri dalam tempoh 21 hari dari tarikh ketibaan.
"Sebanyak 13 makmal mampu membuat ujian pengesanan mpox iaitu lapan makmal kerajaan dan lima makmal swasta, dua daripadanya berupaya membuat 'sequencing' maklumat genetik untuk mengesan varian virus yang dikesan," menurut kenyataan KKM di sini hari ini.
Menurut kenyataan itu, sebagai persediaan awal, KKM mengadakan sesi libat urus dengan pelbagai kementerian dan agensi serta badan bukan kerajaan (NGO) bagi memaklumkan peranan masing-masing dalam aktiviti kawalan dan pencegahan jangkitan mpox.
Selain itu, sesi secara maya juga diadakan bersama Kementerian Luar dan perwakilan Malaysia di negara-negara Afrika bagi menggembleng kerjasama untuk mendapatkan serta menyampaikan maklumat kepada warga Malaysia yang berada di negara berkenaan.
KKM memaklumkan buat masa ini Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) tidak mengeluarkan sebarang nasihat atau syor untuk diadakan sekatan perjalanan.
"Sehubungan itu, individu yang melawat negara berisiko dinasihatkan mengambil langkah-langkah pencegahan seperti mengamalkan kebersihan kendiri, mengelakkan kontak dengan individu yang bergejala atau haiwan yang sakit, segera merujuk kepada fasiliti kesihatan sekiranya bergejala serta mematuhi garis panduan dikeluarkan KKM dari semasa ke semasa," menurut kenyataan itu.
Ancaman mpox juga perlu ditangani melalui pendekatan seluruh negara dan seluruh planet serta kawalan kesihatan kendiri yang tinggi oleh setiap individu.
"KKM akan meneruskan kerjasama rapat dengan pihak WHO danASEAN bagi menguruskan situasi mpox," menurut KKM.
Penyakit mpox diisytiharkan sebagai Kecemasan Kesihatan Awam yang Menjadi Kepentingan Antarabangsa buat kali kedua pada 14 Ogos lepas.
Penyebaran virus clade llb itu bermula pada 2022 dan berterusan sehingga hari ini termasuk di beberapa negara Afrika.
Terkini, penularan clade la dan clade Ib yang semakin meningkat telah menjejaskan Congo dan negara-negara lain di Afrika. Peningkatan itu kerana clade berkenaan lebih mudah merebak.
Kini clade lb juga telah dikesan di luar Afrika iaitu di Sweden dan Thailand, masing-masing pada 16 dan 21 Ogos lepas serta melibatkan sejarah perjalanan ke Afrika.
Mpox lazimnya merebak antara manusia melalui kontak rapat dengan individu yang dijangkiti. Jangkitan juga berlaku melalui sentuhan rapat secara langsung dengan ruam atau lepuh pada kulit individu yang mempunyai gejala dan tanda jangkitan mpox atau melalui pendedahan kepada cecair respiratori semasa hubungan intim.
-- BERNAMA
#mpox #KKM #saringan #Pengembara