MPOGCF taja RM1.1 juta naik taraf pameran orang utan Zoo Negara

Bernama
Disember 17, 2022 13:00 MYT
Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan MPOGCF Hairulhazim Mahmud (tiga, kiri) bersama Presiden Zoo Negara Malaysia Datuk Sr Zaharin Md Arif (dua, kiri) pada Majlis Penyerahan Cek Penajaan MPOGCF. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Yayasan Pemuliharaan Hijau Minyak Sawit Malaysia (MPOGCF) menaja RM1.1 juta untuk menaik taraf pameran orang utan Borneo di Zoo Negara bagi memupuk kesedaran orang ramai mengenai pemuliharaan haiwan berkenaan.
Pengurus Besar MPOGCF Zamakhshari Muhamad berkata projek perintis bersama Zoo Negara itu merupakan kesinambungan projek-projek pemuliharaan orang utan yang sedang berjalan dan bakal dilaksanakan.
"Kerjasama ini tepat pada masanya kerana orang utan dipilih menjadi salah satu daripada tiga ikon dan keutamaan MPOGCF untuk projek pemuliharaan hidupan liar bersama gajah dan Harimau Malaya," katanya pada majlis Penyerahan Cek Penajaan MPOGF di sini hari ini.
Zamakshari berkata populasi orang utan sering dikaitkan dengan sektor perladangan kelapa sawit di Malaysia yang menyebabkan persepsi negatif sehingga industri minta sawit negara menerima layanan tidak adil di peringkat antarabangsa.
"Sebenarnya, ancaman terbesar kepupusan orang utan ialah aktiviti pemburuan haram selain tempoh kelahiran yang panjang iaitu satu kelahiran bagi setiap tujuh tahun, menjadikan populasi orang utan lambat berkembang.
"Oleh itu, MPOGCF selaku agensi yang bertanggungjawab menerajui pemuliharaan alam sekitar bertanggungjawab memperbetulkan tanggapan negatif itu kerana industri sawit merupakan penyumbang utama ekonomi dan pembangunan negara," katanya.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah Presiden Zoo Negara Datuk Sr Zaharin Md Arif, Timbalan Presiden Zoo Negara Rosly Rahmat Ahmat Lana dan Ahli Lembaga Pemegang Amanah MPOGCF Hairulazim Mahmud.
Zamakshari berkata kerjasama itu membantu MPOGCF dalam memupuk semangat dan kesedaran awam mengenai kepentingan menjaga biodiversiti negara.
"Selain itu, usaha mewujudkan ladang sawit yang mesra hidupan liar dapat mengatasi konflik manusia dan hidupan liar yang sering berlaku di ladang kelapa sawit," katanya.
Sementara itu, Hairulazim berharap kolaborasi strategik itu dapat memperkenalkan MPOGCF kepada pelawat tempatan dan luar negara, sekali gus mempromosikan sokongan industri minyak sawit negara kepada usaha-usaha pemuliharaan hidupan liar.
"MPOGCF bertanggungjawab menyokong pemuliharaan hijau melalui pembiayaan dana untuk projek atau inisiatif pemuliharaan bagi memulihkan dan menaikkan imej industri minyak sawit mampan Malaysia di peringkat antarabangsa," katanya,
Antara projek yang dibiayai MPOGCF yang sedang dan akan dilaksanakan antaranya ialah Program Penanaman Sejuta Pokok untuk memulihkan hutan terosot dan memulihkan habitat orang utan di Lahad Datu, Sabah; Program Living Together (gajah) di Terengganu; pembinaan Klinik Gajah di Pusat Konservasi Gajah Borneo di Sandakan; Program Konservasi Harimau Malaya dan pembangunan Laman Konservasi dan Pendidikan Taman Botani di Kuala Terengganu.
-- BERNAMA
#MPOGCF #Zoo Negara #Orang Utan #Zamakhshari Muhamad
;