MPOB sasar 400 pelajar setahun dalam kursus industri sawit - Ahmad Jazlan
Astro Awani
Jun 24, 2020 20:14 MYT
Jun 24, 2020 20:14 MYT
Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) melalui Pusat Latihan Sawit Malaysia (Plasma) mensasarkan pengambilan 400 pelajar setahun bagi mengikuti kursus-kursus dalam industri sawit yang menyediakan kemahiran untuk belia dan mereka yang berminat.
Pengerusinya, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub berkata, Plasma yang ditubuhkan MPOB menawarkan Kursus Operasi Mekanisasi Ladang (KOML) yang memberi peluang kepada golongan belia untuk menjadi tenaga kerja terlatih di ladang.
"Sehingga April 2020, seramai 437,440 pekerja di sektor perladangan sawit di Malaysia dan daripada jumlah itu, 77 peratus atau 338,206 merupakan pekerja asing.
"Dalam konteks ini, pembangunan modal insan bagi melahirkan lebih ramai tenaga kerja mahir di kalangan belia tempatan amat penting untuk berkhidmat di sektor perladangan sawit.
"Pihak MPOB amat komited dalam menyediakan tenaga kerja yang berpengetahuan dalam pengurusan ladang serta meningkatkan penggunaan jentera terutamanya untuk penuaian dan pengangkutan buah tandan segar (BTS) di ladang," katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Rabu.
Dalam pada itu kata Ahmad Jazlan, Plasma berfungsi sebagai pusat kecemerlangan untuk melatih terutamanya anak-anak pekebun serta masyarakat yang berminat dalam pengurusan ladang sawit bagi mengurangkan kebergantungan terhadap pekerja asing dalam sektor perladangan.
Jelasnya, ini merupakan peluang untuk anak-anak pekebun yang mana akan merubah masa depan keluarga melalui kerjaya dalam bidang perladangan.
"Sekiranya dahulu sebagai anak pekebun, selepas pengajian boleh berkhidmat sebagai penyelia atau pengurus kebun pada masa akan datang. Tidak mustahil pada lima atau 10 tahun lagi akan menjadi pemilik ladang sekiranya mereka serius terhadap bidang perladangan sawit ini.
"Industri sawit Malaysia merupakan penyumbang utama kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sektor pertanian dengan sumbangan sebanyak 4.76 peratus pada tahun 2019 yang bernilai 64.84 bilion," katanya lagi.
Oleh itu ujarnya, golongan belia dan masyarakat yang berminat disaran untuk manfaatkan peluang yang disediakan oleh Kerajaan melalui Plasma untuk mendapatkan latihan kemahiran dalam bidang perladangan yang dibiayai sepenuhnya yuran pengajian.
"Pelatih akan didedahkan dengan pengetahuan penggunaan jentera secara lebih meluas bagi meningkatkan kecekapan operasi sektor perladangan sawit serta meningkatkan pendapatan ladang.
"Sehingga kini lebih 3,000 pelatih berjaya menamatkan latihan di Plasma Keratong dan Lahad Datu dan lebih 70 peratus telah menceburi kerjaya di sektor perladangan terutamanya yang melibatkan pengendalian jentera.
"Antara kursus-kursus yang disediakan adalah operasi mekanisasi bagi penyediaan tanah, pembangunan tapak semaian, penyelenggaraan ladang dan pembajaan, penuaian, pengangkutan dan pengumpulan BTS serta penyelenggaraan rutin alatan mekanisasi seperti traktor, peralatan menuai dan sebagainya," jelasnya.
Tambahnya, syarat kemasukan pelatih ke Plasma ialah mempunyai SPM dan berumur 18 tahun ke atas.
"Jangka masa kursus selama enam bulan dengan kemudahan asrama, elaun dan makanan ditanggung sepenuhnya oleh Kerajaan melalui peruntukan kepada Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK)
"MPOB berharap agar Menteri KPPK, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali dan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin terus menyokong usaha MPOB bagi melahirkan lebih ramai tenaga kerja tempatan terlatih dalam industri sawit dan menyedia peruntukan dalam bajet tahun 2021," katanya.
Bagi mereka yang berminat, permohonan boleh dibuat secara atas talian 09-4514400 atau hadir ke pejabat Plasma di Keratong atau Lahad Datu bagi sesi pengambilan bulan Oktober 2020.