MPOB cadang santan sawit sebagai alternatif kurangkan kebergantungan santan kelapa
Bernama
Julai 3, 2017 08:52 MYT
Julai 3, 2017 08:52 MYT
Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) mencadangkan agar pengguna di negara ini beralih pada penggunaan santan sawit sebagai alternatif mengurangkan kebergantungan kepada santan kelapa selain meningkatkan penggunaan bahan mentah sawit di negara ini.
Pengerusi MPOB Datuk Seri Ahmad Hamzah berkata secara amnya kebanyakan masakan di negara ini dan di rantau Asia adalah berasaskan santan kelapa dan kekurangan bekalan kelapa sentiasa berlaku apabila ia tidak diurus dengan baik.
Beliau yang juga ahli parlimen Jasin berkata MPOB sentiasa melaksanakan pelbagai penyelidikan dan percubaan secara berterusan menggunakan santan sawit bagi menghasilkan makanan termasuk dodol, cendol, nasi lemak dan beberapa makanan lain yang menggunakan santan kelapa.
"Inisiatif ini dilaksanakan bukan untuk kita menghentikan kebergantungan terhadap buah kelapa terutama santan kelapa sepenuhnya yang telah digunakan sejak dahulu lagi tetapi untuk mempelbagaikan pilihan kepada pengguna.
"Kita tidak boleh bergantung hanya pada satu bahan iaitu kelapa sahaja kerana ia boleh menyebabkan kekurangan bekalan dan menyebabkan terpaksa mendapatkan bekalan dari luar terutama pada musim perayaan," katanya kepada pemberita selepas Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di rumahnya, di sini, pada Ahad.
Pelbagai makanan disajikan menggunakan bahan mentah sawit termasuk nasi lemak, cendol, dodol rendang pada majlis rumah terbuka berkenaan yang turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron dan Ketua Pengarah MPOB Dr Ahmad Kushairi Din.
Mengulas lanjut, Ahmad berkata penggunaan santan sawit secara meluas di negara ini juga dilihat dapat membantu meningkatkan ekonomi lebih 600,000 pekebun kecil sawit di negara ini pada masa hadapan selain dapat mengawal harga santan kelapa di pasaran.
Beliau berkata berdasarkan penyelidikan yang dilaksanakan pakar nutrisi MPOB, santan sawit mengandungi 50 peratus lemak tepu berbanding 92 peratus dalam kandungan santan kelapa dan kandungan kolestrol lebih rendah dan baik untuk kesihatan.
"Dodol yang dihasilkan menggunakan campuran santan kelapa dan santan sawit juga dilihat kurang berminyak berbanding menggunakan santan kelapa sepenuhnya. Selain itu, dodol yang dihasilkan menggunakan campuran santan sawit lebih tahan lama dan tidak berbau tengik," katanya.
Sementara itu, Ahmad Kushairi berkata secara dasarnya pengeluaran sawit di negara ini adalah sekitar 20 juta tan setiap tahun namun penggunaan dalam negara adalah kira-kira 10 peratus daripada jumlah tersebut.
Beliau berkata justeru itu MPOB telah melaksanakan pelbagai penambahbaikan dalam menghasilkan teknologi baharu untuk mengeluarkan santan sawit yang bermutu dan tahan lebih lama serta dapat dikomersilkan secara meluas.
"Sehingga kini hanya empat usahawan industri kecil dan sederhana di negara ini terlibat dalam pengeluaran santan sawit dan jumlah ini masih kecil berbanding usahawan santan kelapa. Ia telah mempunyai pasaran namun ia masih tidak dapat menampung permintaan atau keperluan," kata Ahmad Khusairi.
Beliau berkata kebanyakan usahawan santan sawit berkenaan beroperasi di Lembah Klang dan MPOB berhasrat untuk memindahkan teknologi pengeluaran santan sawit kepada lebih ramai usahawan yang berminat kerana industri pengeluaran berkenaan dilihat akan berkembang pesat dalam tempoh beberapa tahun akan datang. - BERNAMA