MPOB bimbang tindakan EU haramkan produk import termasuk minyak sawit

Fareez Azman
Disember 13, 2022 20:31 MYT
Menurut Ketua Pengarah MPOB, Datuk Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir, meskipun tindakan itu diambil EU, namun Malaysia komited dengan prinsip dan kriteria mampan dalam pengeluaran minyak sawit di negara ini. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) menzahirkan kebimbangan susulan keputusan Kesatuan Eropah (EU) mengharamkan import beberapa produk termasuk minyak sawit yang dikatakan sebagai penyebab penebangan dan degradasi hutan selepas 31 Disember 2020.
Menurut Ketua Pengarahnya, Datuk Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir, meskipun tindakan itu diambil EU, namun Malaysia komited dengan prinsip dan kriteria mampan dalam pengeluaran minyak sawit di negara ini.
Malah, ia mengikut Skim Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) yang telah dilaksanakan secara mandatori sejak 1 Januari 2020, serta pembangunan industri sawit dikawal lebih 60 peratus dan undang-undang di negara ini.
"Implikasi bagi industri sawit diandaikan daripada keperluan untuk membuat penilaian wajar yang akan menambah beban pentadbiran dan kos pengeluaran yang lebih tinggi berbanding minyak biji sesawi dan minyak bunga matahari yang dikeluarkan dalam negara mereka.
"Terdapat diskriminasi di sini kerana tanaman lain seperti biji sesawi dan bunga matahari tidak menjadi sasaran.
"Selain itu, pekebun kecil mungkin bergelut untuk mematuhi dan dikecualikan daripada pasaran EU," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Mengulas lanjut tambahnya, penglibatan industri sawit di negara ini dalam penebangan hutan adalah sangat rendah berikutan peraturan dan undang-undang yang ketat.
"Ini perlu diiktiraf oleh EU. Berdasarkan tafsiran, minyak sawit dan produknya yang dihasilkan daripada ladang sawit sedia ada sebelum 1 Januari 2021 dianggap bebas penebangan hutan.
"Malaysia tidak membenarkan penebangan hutan untuk penanaman sawit. EU mesti mengiktiraf produk berdasarkan negara asal dan bukan secara global seperti yang dilakukan untuk biofuel sawit.
"Malaysia juga komited sepenuhnya untuk menjalankan kerjasama dan rundingan dua hala yang membina bagi memastikan tiada diskriminasi dalam pengendalian perdagangan antarabangsa untuk akses pasaran produk Malaysia di pasaran EU," katanya lagi.
Pada masa yang sama, tegas Ahmad Parveez, Malaysia juga komited terhadap pemuliharaan hutan dan biodiversiti hutan hujan tropika.
Malah, ujarnya Malaysia masih mengekalkan sekurang-kurangnya 50 peratus kawasan di bawah litupan hutan seperti diikrarkan pada Sidang Kemuncak Bumi Rio pada tahun 1992.
Dasar-dasar penting turut digubal ke arah penanam sawit mampan pada Mac 2019.
Ia termasuk mengehadkan jumlah keluasan penanaman sawit kepada 6.5 juta hektar, menghentikan penanaman sawit baharu di kawasan tanah gambut, mengukuhkan peraturan penanaman sawit dan melarang penukaran kawasan hutan simpanan untuk penanaman sawit.
#minyak sawit #MPOB #Kesatuan Eropah #MSPO
;