MPOB arah kilang kelapa sawit cemar sungai hentikan operasi

Bernama
Julai 15, 2021 13:57 MYT
MPOB menyeru kilang-kilang kelapa sawit agar mematuhi peraturan-peraturan MPOB dan JAS berkaitan perlindungan alam sekitar pada setiap masa, terutamanya ketika pelaksanaan PKP.
KUALA LUMPUR: Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) mengarahkan kilang kelapa sawit di Ulu Keratong, Bandar Tun Razak, Pahang menghentikan operasinya serta-merta setelah didapati menjadi punca pencemaran Sungai Pukin di Rompin, Pahang.
Ketua Pengarah MPOB Dr Ahmad Parveev Ghulam Kadir berkata arahan itu selaras dengan notis arahan Jabatan Alam Sekitar (JAS) cawangan Rompin, di bawah Seksyen 31 Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.
"Kilang kelapa sawit itu diarah untuk menghentikan operasi serta-merta sehingga Jabatan Alam Sekitar menarik balik notis arahan itu," katanya dalam satu kenyataan di sini.
Pada Jumaat, media melaporkan bahawa JAS telah mengambil tindakan terhadap kilang kelapa sawit itu selepas pemeriksaan bersama Pengurusan Air Pahang Bhd mendapati premis itu mengakibatkan pencemaran sungai berkenaan.
Menurut laporan itu, pencemaran berlaku apabila tebing kolam rawatan efluen kilang berkenaan runtuh, mengakibatkan sisa tidak terawat mengalir ke dalam sungai.
Ahmad Parveez berkata kegagalan mematuhi arahan tersebut boleh menyebabkan lesen syarikat digantung, dibatal atau tidak diperbaharui di bawah Peraturan 15(1), Peraturan-Peraturan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (Perlesenan) 2005.
"MPOB menyeru kilang-kilang kelapa sawit agar mematuhi peraturan-peraturan MPOB dan JAS berkaitan perlindungan alam sekitar pada setiap masa, terutamanya ketika pelaksanaan Kawalan Pergerakan," katanya.
Beliau berkata badan itu sentiasa bekerjasama dengan JAS bagi mengekang pencemaran alam sekitar termasuk pencemaran sungai yang disebabkan oleh aktiviti kilang kelapa sawit.
"MPOB sentiasa memantau dan mengadakan pemeriksaan berkala ke atas kilang-kilang kelapa sawit untuk memastikan sistem rawatan efluen sentiasa mematuhi had pengeluaran yang ditetapkan," tambahnya.
-- BERNAMA
#kilang #kelapa sawit #henti operasi #pencemaran #cemar #Sungai #Pahang #Rompin #MPOB #Ulu Keratong #Sungai Pukin #JAS #Ahmad Parveev Ghulam Kadir #Pengurusan Air Pahang #tebing kolam #kolam rawatan efluen #sisa tidak terawat
;