MPOA sambut baik Pelan Rekalibrasi PATI, tampung kekurangan tenaga kerja

Astro Awani
November 13, 2020 13:08 MYT
Datuk Mohamad Nageeb Wahab berkata, tawaran itu sedikit sebanyak menyelesaikan masalah kekurangan tenaga kerja yang telah pun berlaku sebelum COVID-19 menyerang negara. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Persatuan Minyak Sawit Malaysia (MPOA) menyambut baik tawaran kerajaan berhubung Program Rekalibrasi Tenaga Kerja yang meregularisasikan pendatang asing tanpa izin (PATI) di negara ini sebagai pekerja asing yang sah.
Ketua Eksekutif MPOA, Datuk Mohamad Nageeb Wahab berkata, tawaran itu sedikit sebanyak menyelesaikan masalah kekurangan tenaga kerja yang telah pun berlaku sebelum COVID-19 mengancam negara.
Menurutnya, selepas wabak melanda, pihaknya cuba menawarkan kerja kepada warga tempatan namun mereka tidak berminat untuk bekerja di ladang kelapa sawit.
“Sebelum COVID-19 pun kita dah kekurangan tenaga kerja sebanyak 36,000 orang melalui survey dilakukan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB). Saya jangkakan dari Mac sehingga kini, jumlah kekurangan ini bertambah, mungkin dua kali ganda atau lebih.
“Dalam masa COVID-19 dan kekurangan pekerja, kami telah cuba mengambil pekerja tempatan. Kami buat iklan dan temuduga, masalahnya kita tidak dapat pekerja-pekerja tempatan yang hendak bekerja di ladang kelapa sawit.
“Ini kerana mereka masih memandang kerja di ladang ini sebagai kerja 3D,” katanya dalam temu bual bersama Astro AWANI pada Jumaat.
Tambahnya, berdasarkan enam juta hektar tanah kelapa sawit di Malaysia, sekurang-kurangnya 750,000 pekerja diperlukan bagi memastikan dapat hasil yang optimum.
Astro AWANI pada Khamis melaporkan Pelan Rekalibrasi pendatang asing tanpa izin (PATI) akan dilaksanakan bermula 16 November hingga 30 Jun 2021.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, ia diadakan Jabatan Imigresen Malaysia dengan kerjasama strategik daripada Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia serta agensi-agensi Kerajaan lain tanpa penglibatan vendor atau pihak ketiga.
Jelasnya, semua pendatang asing tanpa izin dan majikan yang berhasrat untuk menyertai Program Rekalibrasi Pulang atau Program Rekalibrasi Tenaga Kerja di bawah Pelan Rekalibrasi PATI perlu berurusan secara terus dengan pihak Jabatan Imigresen Malaysia dan Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Manusia.
#pati #pendatang asing #kelapa sawit #kerja #ladang #3D #rekalibrasi #pekerja asing #menteri #kerajaan #minyak #Imigresen #COVID-19 #MPOA #tenaga kerja
;