MPN syor tingkatkan inisiatif penggalakan pelancongan
Bernama
November 11, 2022 18:32 MYT
November 11, 2022 18:32 MYT
KUALA LUMPUR: Majlis Pemulihan Negara (MPN) mengesyorkan supaya kerajaan mempertingkatkan inisiatif penggalakan pelancongan dan penambahbaikan infrastruktur negara agar industri itu tidak ketinggalan dalam gelombang pemulihan rantau Asia Tenggara.
Pengerusinya Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata cadangan berkenaan dibuat selepas meneliti tempoh empat tahun yang diunjurkan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dalam Pelaksanaan Pelan Pemulihan Pelancongan 2022 (PRE 2.0) merupakan tempoh yang panjang.
"Majlis memandang serius kenaikan kos sara hidup yang dihadapi rakyat Malaysia dan walaupun kadar inflasi di Malaysia antara yang terendah di Asia Tenggara, impak inflasi tetap dirasai oleh segenap lapisan masyarakat dan berpotensi menghambat (menghalang) proses pemulihan ekonomi pascapandemik.
"Oleh itu, kerajaan disaran menumpukan sepenuh usaha dalam memastikan nikmat pertumbuhan ekonomi dapat dirasai rakyat Malaysia yang bergelut dengan kos sara hidup semakin meningkat," katanya.
Dalam pada itu, Muhyiddin berkata kegagalan memulihkan industri pelancongan negara dengan agresif mampu merencatkan pemulihan ekonomi.
PRE 2.0 merupakan inisiatif kerajaan melalui MOTAC dalam usaha merancakkan sektor pelancongan domestik negara seiring fasa peralihan ke endemik.
Muhyiddin sebelum ini mencadangkan kepada kerajaan agar membuka pintu sempadan sebelum ia diumumkan dibuka bermula 1 April lepas, namun kemasukan pelancong asing menyebabkan penggiat industri berdepan kekurangan tenaga kerja.
Beliau pada masa sama turut mencadangkan supaya proses permohonan pekerja asing terutama sektor kritikal seperti perladangan, pelancongan serta pembuatan dipercepat dan dipermudahkan, manakala inisiatif serta bantuan dirangka segera bagi memacu semula sektor pelancongan negara.
Kerajaan ketika itu kemudian menyediakan pelbagai bantuan termasuk Geran Khas Prihatin dan Program Subsidi Upah yang rata-rata mendapat maklum balas positif daripada pengusaha hotel termasuk di Sabah.
Pengurus Hotel Kingston, Tawau, Sabah, Yusal Fitriya Yusup menyifatkan langkah kerajaan ketika itu membuktikan keperihatinan mereka terhadap nasib rakyat terutamanya para peniaga yang terjejas teruk akibat pandemik COVID-19.
"Bantuan yang disalur serba sedikit membantu kami memberi gaji kepada pekerja dan menampung belanja harian," katanya ketika ditemui Bernama baru-baru ini.
Sementara itu, Ahli Lembaga Pengarah The Elopura Hotel, di Sandakan, Awang Japar berkata inisiatif bantuan yang disalurkan kerajaan ketika itu memberi nafas baharu buat para peniaga yang terpaksa membekukan urusan perniagaan mereka akibat COVID-19.
-- BERNAMA