MPN syor kaji penggunaan MySejahtera - Muhyiddin

Hasimi Muhamad
April 14, 2022 13:31 MYT
Muhyiddin sewaktu sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat MPN di Kementerian Kewangan, di Putrajaya pada Khamis.- Foto Astro AWANI
PUTRAJAYA: Majlis Pemulihan Negara (MPN) mengesyorkan Kementerian Kesihatan (KKM) mengkaji keberkesanan penggunaan aplikasi MySejahtera sebagai alat pengesanan kontak rapat.
Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata ini kerana negara kini sudah berada dalam fasa peralihan endemik.
“Itu pandangan ahli majlis dalam perbincangan dan telah dibentangkan. Apa yang kita tahu sejak dulu hingga sekarang aplikasi MySejahtera masih digunakan.
“Dalam penjelasan Ketua Pengarah Kesihatan (Tan Sr Dr Noor Hisham Abdullah), beliau berpandangan ia masih perlu dan banyak data itu digunakan untuk kawalan COVID-19 dan ketika ini (kes) dalam keadaan baik,” katanya di sini pada Khamis.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat MPN di Kementerian Kewangan, di sini pada Khamis.
Syor penggunaan MySejahtera dikaji dalam peralihan ke fasa endemik - Muhyiddin
Aplikasi MySejahtera diperkenalkan pada April 2020, antaranya sebagai usaha kerajaan memutuskan rantaian jangkitan COVID-19, dengan fungsi membantu pengguna mengenal pasti tahap kesihatan sepanjang penularan wabak itu.
MySejahtera juga berfungsi membantu pengguna mendapatkan bantuan kesihatan dan tindakan yang perlu diambil jika dijangkiti COVID-19, selain mengenal pasti hospital dan klinik terdekat untuk membuat pemeriksaan serta rawatan.
Setakat ini, dianggarkan MySejahtera mempunyai 47 juta pengguna berdaftar dengan 29 juta daripadanya pengguna aktif.
#MySejahtera #Muhyiddin Yassin #MPN #KKM #Dr Noor Hisham Abdullah
;