MPN perlu jadi kementerian penuh, diterajui Perdana Menteri - Muhyiddin
Firdaus Azil
September 27, 2022 14:44 MYT
September 27, 2022 14:44 MYT
PUTRAJAYA: Majlis Pemulihan Negara (MPN) melihat ada keperluan untuk majlis itu dijadikan kementerian sepenuhnya supaya mempunyai lebih kuasa dalam membuat keputusan berhubung soal pengurusan ekonomi serta kebajikan rakyat.
Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kementerian itu juga mungkin boleh berfungsi antara setahun hingga ke dua tahun serta diterajui oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sendiri.
Menurut beliau, MPN buat masa ini hanya berfungsi sebagai badan penasihat kepada kerajaan, tetapi terdapat beberapa isu utama yang seolah-olah tidak diberikan perhatian penuh oleh Kabinet.
“Kalau kerajaan ada padangan serius, di setengah negara sebagai contoh, ada Kementerian Pemulihan Negara, kalau tak salah saya di United Kingdom. Duduk dalam Kabinet dan dilantik setiausaha (menteri) dari orang pakar, orang luar.
“Itu bayangan. Mungkinkah hal ehwal ekonomi kita boleh diubah sebagai Kementerian Ekonomi Negara, sebagai contoh, letakkan sebagai satu jawatan yang betul-betul boleh execute dan dapat diperhalusi kenapa (cadangan pemulihan ekonomi) tak cepat. Apa masalah? Adakah wujud kekangan, kewangan, peraturan atau dasar, atau dari segi bantuan?” kata beliau lagi.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas selesai mempengerusikan Mesyuarat MPN di bangunan Kementerian Kewangan, di sini, hari ini.
Sebelum ini, Muhyiddin menyuarakan kekecewaan MPN berikutan terdapat beberapa perakuan utama, tidak diberikan perhatian penuh oleh kkerajaan.
Bekas Perdana Menteri itu berkata, daripada 65 perakuan MPN berkaitan isu-isu utama berkaitan pengurusan ekonomi dan sumber manusia, hanya 16 perakuan atau 23.5 peratus sahaja yang telah selesai dilaksanakan.
Sementara, baki 30 perakuan (43.5 peratus) pula, kata Muhyiddin, masih dalam pelaksanaan, 14 perakuan (20.3 peratus) belum dilaksanakan atau tiada maklum balas daripada Kabinet atau agensi berkaitan dan sembilan lagi perakuan (13 peratus) masih menunggu keputusan Kabinet.
“Cadangan MPN ini bukan cadangan daripada saya seorang, tapi daripada ramai pihak dan pakar seperti pakar ekonomi, sosial, pendidikan, swasta dan juga ada wakil dari parti pembangkang. Kalau nak ambil kira, itu pandangan kumpulan yang agak mahir.
“Jadi sebab itu kita minta, jangan pandang ringan, mungkin sebab saya tak handsome orang tak suka saya, atau saya dari parti lain tak suka saya. This is idea of the council. Tadi bentang kertas, oleh orang yang mempunyai kepakaran empat jam kita duduk bincang.
“Bagi saya, kerajaan mesti ambil perhatian. Kalau tak diambil tindakan, proses pemulihan kita, sekarang ini mungkin sedikit agak bertambah baik, tapi tak cukup baik,” tegasnya lagi.
Terdahulu Muhyiddin berkata, ekonomi sebenar Malaysia pada masa kini adalah agak kurang memberangsangkan, walaupun terdapat peningkatan sementara dari sudut Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
Beliau berkata, ramai pakar baik tempatan mahupun antarabangsa telah mengeluarkan jangkaan bahawa ekonomi dunia dan Malaysia akan mengalami kemelesetan pada tahun 2023.
“Pada masa sama, kedudukan fiskal kerajaan juga dijangka agak terbatas pada tahun-tahun hadapan dan ini akan mengehadkan tindakan kerajaan untuk merangsang ekonomi menerusi pakej rangsangan ekonomi, dan bantuan rakyat seperti mana dilaksanakan kerajaan sebelum ini,” katanya lagi.