MPN mahu pelan strategik tangani isu pekerja asing
Wan Syamsul Amly
Februari 23, 2016 19:41 MYT
Februari 23, 2016 19:41 MYT
Majlis Profesor Negara (MPN) mahu isu dan cabaran pengurusan pekerja asing diselesaikan dengan pelan strategik yang perlu diperhalusi secara lebih komprehensif dan seimbang.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Prof Datuk Dr Raduan Che Rose berkata, ia perlu memenuhi keperluan ekonomi dan sentiasa mementingkan kebajikan serta kesejahteraan masyarakat setempat.
"Kita akui kesan sampingan yang dibawa pekerja asing dalam segala aspek sosial, ekonomi, politik dan sebagainya.
"Kita juga sentiasa menyedari jumlah wang dibawa keluar pekerja asing ini yang difahamkan mencecah RM30 bilion. Dalam apa juga keadaan, negara akan mengalami kerugian walaupun kita sedari ia membawa pembangunan.
"Kita turut menyedari jumlah pekerja asing tidak berdaftar adalah sangat besar di Malaysia. Kita akan kehilangan peluang untuk mendapat faedah daripada mereka seperti pembayaran levi dan sebagainya," katanya pada sidang media selepas Perbincangan Meja Bulat: 'Isu dan Cabaran Pengurusan Pekerja Asing di Malaysia' di sini, hari ini.
Perbincangan itu turut dihadiri wakil profesor dari beberapa universiti selain wakil agensi berkaitan.
Pada 19 Februari lalu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan penangguhan pengambilan semua pekerja asing dari negara sumber berkuat kuasa serta merta.
Katanya, penangguhan itu turut melibatkan pengambilan pekerja dari Bangladesh dan akan berjalan sehingga kerajaan berpuas hati terhadap keperluan sebenar tenaga kerja asing sebagaimana yang diperlukan industri.
Dalam pada itu menurut Dr Raduan, pihaknya turut membincangkan nasib anak muda tempatan terutama golongan yang mempunyai kemahiran kursus Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET).
"Sebanyak 60 peratus daripada graduan ini adalah mereka yang mempunyai kemahiran TVET. Ia sendiri sudah digariskan dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK 11)," jelasnya.
Tambahnya lagi, antara isu yang harus dibangkitkan adalah pencerobohan warga asing di dalam sektor serta sub sektor yang dikhaskan untuk pekerja tempatan.
Sebelum ini, Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin berkata, faktor gaji rendah bagi pekerjaan yang kurang digemari belia dijangka berterusan kerana industri berkenaan tidak mampu menawarkan nilai yang terlalu tinggi bagi pekerjaan berkenaan.
Khairy turut melahirkan kepercayaan bahawa industri seperti pembinaan dan perladangan belum dapat menawarkan gaji yang terlalu tinggi sekarang ini.