MPN komited jana idea, strategi untuk pulihkan Malaysia

Astro Awani
Oktober 2, 2022 19:39 MYT
Ahli MPN, Datuk Dr Hartini Zainudin berkata, MPN sememangnya memerlukan lebih masa untuk melaksanakan semua perkara sebaiknya. - Gambar/ Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Sejak COVID-19 melanda Malaysia, isu kesihatan selalunya diletakkan sebagai tumpuan utama kerajaan, terutamanya untuk mengembalikan semula kehidupan rakyat seperti sebelum pandemik.
Meskipun kesihatan menjadi tumpuan paling utama namun sektor lain seperti pendidikan, ekonomi, sosial dan kebajikan rakyat tidak langsung diketepikan bagi memulihkan negara.
Bagi memastikan segala usaha dirancang, diatur dan dilaksana sebaiknya, kerajaan menubuhkan Majlis Pemulihan Negara (MPN) pada 21 Julai 2021, menghimpunkan pakar-pakar dalam pelbagai bidang kritikal.
Objektifnya, memastikan lebih banyak idea dikongsi bersama dan Pelan Pemulihan Negara (PPN) dapat dijayakan dengan selamat, teratur dan inklusif, demi kesejahteraan rakyat Malaysia.
Ahli MPN, Datuk Dr Hartini Zainudin yang juga aktivis kanak-kanak berkata, MPN sememangnya memerlukan lebih masa untuk melaksanakan semua perkara sebaiknya kerana tidak mungkin ia boleh dilakukan bersendirian, tanpa kerjasama banyak pihak.
“Ia bukan soal wang semata-mata, ini soal kemahuan dan ini soal apa yang menjadi keutamaan dan jika keutamaannya adalah untuk negara ini pulih dan memastikan setiap orang di Malaysia berjaya, maka semua orang mesti melakukan tugasnya.
“Semua orang, bukan seorang, bukan dua orang tapi semua orang. Kita perlu berikan, bukan secara minimum tetapi maksimum.
“Ya, ia memang berkisar kepada ekonomi tetapi bukan hanya ekonomi semata-mata. Kebajikan, kesihatan, semangatnya. Rakyat Malaysia memang hebat tapi kita berdepan situasi cukup sukar.
“Jangan lihat negara lain, lihat di Malaysia pun. Ia memang sukar untuk kita,” katanya dalam temu bual khas bersama media di sini pada Ahad.
Tambah beliau, semua pihak perlu bergabung, tidak boleh bergerak bersendirian dan perlu ada pemimpin untuk menggerakkan usaha sebegitu agar Malaysia kembali pulih seperti dahulu.
“Kami berusaha dengan sungguh-sungguh. Saya bercakap mewakili diri saya. Saya turun padang hampir setiap hari. Saya bercakap kepada semua orang, kita buat apa yang kita mampu buat.
“Apa yang kita lakukan sekarang ialah kita mewujudkan gerakan, mendapatkan NGO lain, masyarakat sivil, sektor korporat dan swasta untuk bekerjasama dalam sektor makanan, kesihatan, ekonomi dan lain-lain.
“Saya katakan, mari semua… mari kita bergerak bersama dan bekerjasama. Itulah yang saya lakukan dan semua yang di MPN lakukan,” ujarnya.
Selepas hampir dua tahun ditubuhkan, MPN kini memberi tumpuan kepada pemulihan ekonomi negara dan sedang meneliti PPN 2.0 bagi memastikan ekonomi negara kembali pulih terutamanya sektor paling terjejas akibat COVID-19.
#COVID-19 #MPN #Dr Hartini Zainudin #Pelan Pemulihan Negara
;