MPN kecewa, cadangan diperakui tidak dilaksana sepenuhnya - Muhyiddin
Firdaus Azil
September 27, 2022 14:28 MYT
September 27, 2022 14:28 MYT
PUTRAJAYA: Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) Tan Sri Muhyiddin Yassin menzahirkan rasa kecewa kerana beberapa cadangan majlis itu demi kepentingan negara, terutamanya dalam soal pengurusan ekonomi, tidak dilaksanakan sepenuhnya.
Dalam sidang media di Putrajaya hari ini, bekas Perdana Menteri itu berkata, daripada 65 perakuan MPN berkaitan isu-isu utama berkaitan pengurusan ekonomi dan sumber manusia, hanya 16 perakuan, atau 23.5 peratus yang telah selesai dilaksanakan.
Baki 30 perakuan (43.5 peratus) pula, katanya lagi, masih dalam pelaksanaan, 14 perakuan (20.3 peratus) belum dilaksanakan, atau tidak maklum balas Kabinet atau agensi berkaitan, dan sembilan lagi perakuan (13 peratus) masih menunggu keputusan Kabinet.
“Saya tak boleh kata tak dipandang serius oleh kerajaan, semua perakuan ini kita dah bawa pada kerajaan menerusi memorandum Jemaah Menteri. Diluluskan itu satu perkara, tetapi soalan penting, bila dah lulus, bila pula nak dilaksanakan?
“Pasal pemulihan tak boleh lulus begitu saja, apa tindakan susulan Perdana Menteri, Kerajaan, Kementerian, dan agensi. Perakuan tadi melangkau beberapa bidang yang libatkan beberapa belas agensi dan kementerian.
“Sebab itu bagi kami, perlu ada satu kesungguhan, atau sense of urgency. Kerana kalau nak tunggu pulih tu sampai setahun, saya fikir dah terlambat,” kata Ahli Parlimen Pagoh itu lagi.
Antara contoh perakuan utama MPN yang prestasi pelaksanaannya tidak memuaskan, kata Muhyiddin, berkaitan dengan isu kekurangan tenaga kerja asing, terutamanya dalam industri perusahaan mikro, kecil, dan sederhana (PMKS).
Biarpun MPN dalam mesyuaratnya pada 2 Sept 2021 telah memperakukan kepada kerajaan supaya diwujudkan satu Jawatankuasa Tindakan Khas Berkenaan Kekurangan Tenaga Kerja dalam PMKS, wakil sektor terbabit masih terbelenggu dengan isu tersebut.
“MPN dimaklumkan sebanyak 1,152,276 permohonan kuota pekerja asing telah diterima dari pelbagai sektor industri antara Januari hingga September 2022. Daripada jumlah ini, sebanyak 467,223 (40.5 peratus) kuota diluluskan, tetapi hanya 76,000 (6.5 peratus) pekerja asing yang dibawa masuk setakat 12 September 2022.
“Data ini menunjukkan jumlah kemasukan pekerja asing adalah jauh lebih rendah daripada keperluan tenaga kerja asing di negara ini.
“Bagi MPN, isu kekurangan tenaga kerja asing di negara ini masih meruncing dan tidak dapat diselesaikan kerajaan walaupun MPN telah membangkitkan isu ini sejak Disember tahun lalu,” katanya lagi.
Selain itu, Muhyiddin berkata, aliran tunai dan pembiayaan PMKS juga menjadi perhatian utama MPN.
Muhyiddin berkata, MPN telah mengemukakan dua perakuan utama dalam kerajaan untuk membantu menangani masalah aliran tunai, dan pembiayaan PMKS.
“Pertamanya ialah penubuhan Jawatankuasa Tindakan Khas Berkenaan Isu Kekangan Aliran Tunai dan Pembiayaan Dalam PMKS, yang diterajui Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, yang diputuskan dalam mesyuarat MPN pada 2 Disember 2021.
“Keduanya, beberapa cadangan yang lebih spesifik untuk membantu PMKS, iaitu supaya Bank Negara Malaysia memberikan kebenaran kepada pihak bank meneruskan program penjadualan atau penstrukturan semula pembiayaan (moratorium), dan tidak mengklasifikasikan pembiayaan yang diberikan penjadualan atau penstrukturan semula sebagai “Tahap 3”.
“Perakuan ini telah diputuskan dalam mesyuarat MPN pada 14 April 2022, dan dikemukakan untuk kelulusan Kabinet menerusi Memorandum Jemaah Menteri pada 18 Mei 2022,” katanya.
Namun Muhyiddin berkata, beliau membaca kenyataan media Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Tan Sri Noh Omar) bahawa perkara itu masih dalam peringkat pertimbangan kementerian.
Katanya lagi, beliau agak hairan kerana Memorandum Jemaah Menteri mengenai perakuan itu telah diangkat kepada Kabinet pada 18 Mei 2022.
“Adakah Kabinet tidak membincangkan perakuan penting MPN ini dalam mesyuaratnya lebih 4 bulan lalu? Atau Memorandum Jemaah Menteri ini dibentangkan kepada Kabinet, tetapi tidak dibincangkan secara terperinci?
“Ini adalah sesuatu yang agak mengecewakan. Suatu perakuan penting MPN kepada Kabinet untuk membantu memulihkan industri PMKS yang menyumbang 37 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tidak mendapat perhatian segera kerajaan,” katanya lagi.
Muhyiddin berkata, MPN bimbang sebarang kelewatan di pihak kerajaan dalam memacu pemulihan ekonomi negara akan memberi kesan buruk kepada rakyat.
Tambahnya lagi, ramai pakar ekonomi tempatan dan antarabangsa telah menjangkakan dunia akan mengalami kemelesetan ekonomi pada tahun hadapan.
“Sekiranya negara kita tidak berada pada landasan pemulihan yang kukuh pada tahun ini, cabaran yang akan dihadapi oleh rakyat dan negara pada tahun hadapab adalah lebih meruncing,” tegasnya lagi.
Muhyiddin berharap agar Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan kerajaan dapat memberikan tumpuan utama kepada usaha melaksanakan langkah-langkah yang lebih berkesan untuk memulihkan ekonomi negara dengan lebih cepat.
Beliau berkata, langkah itu seterusnya dapat membantu meringankan beban rakyat, terutamanya akibat kenaikan harga barang dan kadar inflasi.
“Saya berharap Kerajaan menerusi Bajet 2023 akan dapat mengemukakan langkah-langkah yang seimbang dan berkesan dalam mengawal kenaikan kadar inflasi, mengatasi kejatuhan nilai ringgit, merangsang pertumbuhan ekonomi, dan membantu rakyat yang susah,” katanya lagi.