MPN gesa segerakan kelulusan permohonan pekerja asing
Hasimi Muhamad
April 14, 2022 14:10 MYT
April 14, 2022 14:10 MYT
PUTRAJAYA: Kementerian Sumber Manusia dan pihak berkaitan digesa menyegerakan proses kelulusan bagi permohonan-permohonan pekerja asing dalam negara.
Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ia termasuk mengurangkan karenah birokrasi, mempermudahkan dan menambahbaik proses kelulusan bagi menampung keperluan pekerja melibatkan industri-industri terdesak seperti pembuatan dan peladangan.
Jelas beliau lagi, MPN menyedari terdapat penurunan ketara jumlah tenaga kerja asing sebanyak 20 peratus sejak pandemik COVID-19 melanda negara.
“Kerajaan pada 15 Februari lalu telah memberi kebenaran permohonan pengambilan pekerja asing bagi semua sektor.
“Namun begitu, hanya 163 daripada 4,561 permohonan kuota pekerja asing telah diproses sehingga kini.
“Majlis juga menyedari keluhan dan kerugian yang dialami pengusaha-pengusaha industri terutama dalam sektor peladangan, perkilangan dan perkhidmatan akibat kekangan tenaga kerja yang mendesak setelah ekonomi dibuka sepenuhnya,” katanya di sini pada Khamis.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat MPN di Kementerian Kewangan, di sini.
Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata sebagai langkah jangka pendek, MPN mencadangkan supaya kelulusan bersyarat boleh diberikan kepada permohonan yang sedang diproses untuk menyegerakan bekalan tenaga kerja asing kepada sektor-sektor yang terjejas.
Sementara itu, bagi jangka panjang pula, beliau menambah MPN berpandangan isu struktural kekurangan tenaga kerja dan kebergantungan kepada tenaga kerja asing perlu ditangani secara menyeluruh.
"Seperti disebut oleh Kementerian Peladangan dan Komoditi tadi pun, waktu COVID-19 dan tidak ada pekerja asing masuk membantu menurunkan buah kelapa sawit, sektor itu kerugian lebih RM10 bilion dan waktu sekarang ini harga kelapa sawit cukup tinggi.
"Kalau masih dilewatkan lagi dengan tidak ada pekerja asing, maka menambah besar lagi kerugian kepada negara kita. Jadi itu satu sektor sahaja," ujarnya.
Justeru, Muhyiddin berkata MPN berharap isu permohonan kelulusan pekerja asing boleh diselesaikan sebelum akhir tahun ini, sekurang-kurangnya melibatkan separuh daripada jumlah permohonan.
Dalam mesyuarat sama, Muhyiddin menambah MPN turut mencadangkan supaya kementerian berkaitan mengenal pasti sektor Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana yang paling terjejas.
Ini bagi memastikan inisiatif-inisiatif boleh diubahsuai dan disasarkan, sekali gus memastikan sektor tersebut tidak ketinggalan dalam usaha pemulihan negara.