MPN cadang sistem bersepadu perkukuh jaringan keselamatan sosial
Haikal Raman
Oktober 13, 2022 16:06 MYT
Oktober 13, 2022 16:06 MYT
PUTRAJAYA: Majlis Pemulihan Negara (MPN) hari ini mencadangkan kepada kerajaan untuk membangunkan sebuah sistem yang komprehensif dalam memudahcara proses penyaluran bantuan secara menyeluruh dan berpusat.
Pengerusi MPN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, langkah tersebut merupakan rangka strategi ke arah jaringan kesejahteraan sosial yang merupakan sebuah agenda kemampanan lebih inklusif dan lestari.
Tambah beliau, meskipun ketika ini negara mempunyai mekanisme e-Kasih, namun sistem tersebut perlu diperkemaskan atau distruktur semula selain disifatkan sudah lama dan tidak cukup kemas.
“Mekanisme ini akan berfungsi sebagai jaringan keselamatan sosial yang dapat mengenal pasti bantuan jangka masa pendek, sederhana dan panjang kepada rakyat yang layak memerlukan bantuan.
“Ini boleh mengurangkan kerenah birokrasi dalam aspek penyampaian bantuan, sekali gus mengoptimumkan penggunaan kewangan negara.
“Sistem bersepadu ini juga boleh berfungsi menyusun semula segala bentuk manfaat yang layak diterima oleh rakyat sejak dari lahir sehingga akhir hayat menerusi data rentas agensi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Seminar Kebangsaan Pemulihan Negara dan Kerangkuman Sosial di sini pada Khamis.
Selain itu katanya, dengan mengintegrasikan data penerima yang layak dari semua agensi dalam satu sistem yang sama, proses penyaluran bantuan termasuk subsidi dapat diselaras dan diagihkan secara telus dan cekap.
Menurut Muhyiddin, antara perkara lain yang perlu menjadi fokus kerajaan termasuklah memacu sektor Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS).
“Mengenai beban kewangan dan masalah aliran tunai yang dihadapi oleh komuniti perniagaan khususnya PMKS, MPN mengesyorkan supaya program penjadualan atau penstrukturan semula pembiayaan (moratorium) diteruskan.
“Sebarang kelewatan dalam menyalurkan bantuan akan menjejaskan kelangsungan hidup dan ketahanan perniagaan mereka, ini kerana aspek ‘business acceleration’ perlu diberi penekanan khusus supaya dapat meningkatkan nilai tambah PMKS,” ujarnya.
Tambahnya, langkah proaktif tersebut bakal memajukan PMKS menjadi syarikat penengah (mid-tier companies) yang akhirnya menjadi syarikat multinasional (MNC) milik tempatan.
Tanggungjawab memacu proses pemulihan negara memerlukan sinergi dan pendekatan seluruh negara (whole-of-nation approach) dengan keterlibatan semua pihak daripada kerajaan, swasta, pakar industri, akademia, badan bukan kerajaan (NGO) dan segenap lapisan masyarakat.