MPN anggap cadangan perkenalkan sistem perwakilan berkadar untungkan DAP

Irwan Muhammad Zain
Februari 12, 2020 18:16 MYT
Dr. Muhammad Asri berkata, para pengundi Melayu terpaksa terus membuat pilihan ke atas parti-parti Melayu yang banyak semasa pilihan raya umum (PRU). - Gambar ihsan UM
Majlis Profesor Negara (MPN) menganggap Sistem Perwakilan Berkadar (PR) yang dicadangkan untuk menggantikan Sistem Pemenang Undi Terbanyak (FPTP) akan membolehkan DAP memenangi lebih 60 kerusi Parlimen pada masa akan datang.
Felo Penyelidik Majlis Profesor Negara (MPN), Dr. Muhammad Asri Mohd. Ali berkata, ia akan membolehkan parti itu menuntut jawatan Perdana Menteri kerana memiliki blok kerusi terbanyak di Parlimen.
Beliau juga berkata pelaksanaan sistem PR juga memberi beberapa kesan negatif terhadap landskap politik negara.
Katanya, para pengundi Melayu pula terpaksa terus membuat pilihan ke atas parti-parti Melayu yang banyak semasa pilihan raya umum (PRU).
“Dalam kajian saya ini, ada dua parti iaitu DAP dan Pas akan menonjol dalam sistem PR ini. UMNO masih ada tetapi tidak tinggi pencapaiannya.
“Kajian juga mendapati DAP yang boleh secara maksimum menang 42 kerusi Parlimen selama ini namun menerusi sistem ini melonjak lebih 60 kerusi kerana pengundi mereka ramai di kawasan bandar di Johor, Kuala Lumpur, Selangor dan Perak.
“Pola pengundian pada PRU lalu mereka diundi oleh satu kumpulan sahaja. Jadi DAP akan dapat kerusi banyak di Parlimen dan pengundi Melayu berasa sedih kerana parti-parti Melayu diwakili banyak parti.
“Saya melihat sistem PR ini tidak stabil kerana DAP akan berkata kepada dunia kerana mereka mendapati peratusan undi yang tinggi, mereka patut mendapat jawatan Perdana Menteri,” katanya.
Beliau berkata demikian mengenai hasil kajiannya selepas perbincangan meja bulat tentang sistem PR anjuran MPN di sini pada Rabu.
Turut hadir Pengerusi MPN, Prof. Ulung Datuk Dr. Shamsul Amri Baharuddin dan Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif MPN, Prof. Datuk Dr. Raduan Che Ros.
Sementara itu, Dr Shamsul Amri mencadangkan refrendum ataupun pungutan suara daripada rakyat diadakan bagi mendapat kepastian sama ada bersedia atau tidak dengan sistem baharu itu.
"Nak ubah sistem ini refrendum yang paling sesuai, rakyat perlu ditanya.
"Anggota ERC juga harus didemokrasikan lagi, yang ada kini sebahagian besar wakil penyokonh kerajaan, banyak lagi pihak berkepentingan lain, mana penjawat awam dan NGO," katanya.
Sebelum ini, Pengerusi Jawatankuasa Reformasi Pilihan Raya (ERC) Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman dilaporkan berkata, jawatankuasa itu akan mengusulkan kepada kerajaan untuk menggantikan sistem pilihan raya sedia ada iaitu FPTP kepada PR.
#Dr Muhammad Asri Mohd Ali #FPTP #Majlis Profesor Negara #MPN #Sistem Pemenang Undi Terbanyak #Sistem Perwakilan Berkadar
;