MPN: 5 tema utama pelan tangani impak COVID-19 - Muhyiddin

Astro Awani
September 9, 2021 17:45 MYT
Cadangan dan input dasar pemulihan yang diterima melalui sesi libat urus dengan pemegang taruh dimasukkan ke dalam dasar-dasar pembangunan utama negara seperti RMK-12 dan WKB2030. - fotoBERNAMA
KUALA LUMPUR: Majlis Pemulihan Negara (MPN) menggariskan lima tema utama dalam merangka proses pemulihan menangani impak COVID-19.
Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata ia termasuk memperkukuhkan sistem penjagaan kesihatan awam Malaysia dan meningkatkan tahap kesiapsiagaan industri berkaitan untuk keluar dari pandemik ke tahap endemik selain bersedia dengan kemungkinan berhadapan pandemik baharu pada masa depan.
"Tema-tema yang digariskan ini sudah tentu tidak begitu terperinci, sebab itu saya ingin menjemput para pemimpin industri, penggerak masyarakat sivil, ahli politik, pemimpin masyarakat dan golongan muda untuk berkongsi idea, supaya kita sama-sama dapat merangka pemulihan yang sejajar dengan kepentingan negara.
"Di samping itu, cadangan dan input dasar pemulihan yang diterima melalui sesi libat urus dengan pemegang taruh akan juga dimasukkan ke dalam dasar-dasar pembangunan utama negara seperti Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) dan Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030," katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan penutup Sidang Kemuncak Pemulihan Negara anjuran Institut Strategik KSI bagi Asia Pasifik dan Kelab Ekonomi Kuala Lumpur secara maya pada Khamis.
Mengulas lanjut, beliau turut menggesa semua rakyat Malaysia bersatu hati dalam perang melawan COVID-19 dan membina semula negara tercinta.
"Kita perlu mengetepikan segala perbezaan dan mencari titik persamaan. Kita mesti bersama-sama menyelamatkan nyawa, ekonomi dan negara.
"Malaysia memerlukan anak watan untuk tampil mengembalikan kegemilangannya.
"Kita tidak mahu lagi polemik politik dan perpecahan mengganggu gugat usaha murni kita dalam memerangi pandemik dan membina semula ekonomi," katanya.
Lima tema utama yang digariskan Muhyiddin adalah:
i) Memperkukuhkan sistem penjagaan kesihatan awam Malaysia dan meningkatkan tahap kesiapsiagaan industri berkaitan untuk keluar dari pandemik ke tahap endemik dan bersedia dengan kemungkinan berhadapan pandemik baharu pada masa depan.
Muhyiddin berkata: "kita mesti melihat kepada keadaan emosi individu dan mereka yang secara langsung dijangkiti COVID-19 dan yang menderita kerugian teruk
ii) Mengenal pasti sektor-sektor ekonomi yang memerlukan perhatian utama.
"Kita perlu membantu sektor-sektor ini untuk kembali beroperasi dengan tumpuan kepada pelancongan, pendidikan dan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dalam jangka masa pendek dan sederhana. Pada masa yang sama, kita perlu mengenal pasti dan memberi insentif yang sesuai untuk perniagaan yang berpotensi mencatat pertumbuhan dalam jangka masa sederhana dan panjang.
"Kita juga mesti memperkukuhkan sektor-sektor strategik utama yang menjadi bahagian penting dalam rantaian bekalan global. Ini akan secara langsung meningkatkan daya saing negara secara keseluruhan dan lebih penting lagi, peluang pekerjaan dapat diwujudkan untuk rakyat Malaysia terutamanya golongan muda".
iii) Mewujudkan ekosistem yang kondusif dan mampan untuk pertumbuhan inklusif yang akan merancakkan pemulihan.
"Ini termasuk strategi untuk pembangunan infrastruktur fizikal dan digital selain melonjakkan komitmen terhadap dasar-dasar alam sekitar, sosial dan tadbir urus. Ini akan membantu memperkuatkan kedudukan Malaysia sebagai destinasi pilihan pelaburan kepada pelaburan langsung asing dan domestik".
iv) Memperluaskan pelaksanaan digitalisasi dalam perniagaan dan perkhidmatan awam selain menyediakan infrastruktur perlu yang akan menggalakkan penggunaan teknologi digital.
Katanya, semua infrastruktur ini perlu sebagai persediaan menghadapi Era Digital dan membantu memudah cara urusan individu dan perniagaan beroperasi semasa pandemik.
v) Memastikan pertumbuhan yang dipupuk daripada proses pemulihan itu diagihkan secara saksama, bagi mengelakkan jurang pendapatan melebar dan memburukkan hubungan antara kaum di negara ini.
"Memandangkan pandemik ini telah memberi kesan yang buruk kepada kehidupan, jaringan keselamatan sosial perlu diperkukuhkan supaya kita dapat terus membina kehidupan, juga mengembalikan nilai dan maruah setiap rakyat Malaysia,".
#Majlis Pemulihan Negara #Muhyiddin Yassin #COVID-19 #lima tema utama
;