MPMA dan MPRA mahu penguatkuasaan lebih tegas bagi pembuangan sisa

Bernama
November 26, 2019 06:02 MYT
Pekerja-pekerja Kualiti Alam Sdn Bhd membuat pemeriksaan ke atas tong-tong yang mengandungi sisa bahan kimia sebelum melakukan kerja-kerja pembersihan pembuangan sisa bahan kimia di Kampung Tambak Jawa, 26 Nov, 2019. --fotoBERNAMA
Persatuan Pengilang Plastik Malaysia (MPMA) dan Persatuan Pengitar Semula Plastik Malaysia (MPRA) mahu pihak berkuasa pengurusan sisa meningkatkan penguatkuasaan mengenai pembuangan sisa yang betul terutama bahan kimia berbahaya.
Dalam kenyataan bersama pada Selasa, mereka berkata pembuangan haram, sama ada sampah domestik atau bahan kimia berbahaya adalah ancaman terhadap alam sekitar dan kesihatan manusia, menunjukkan kepincangan serius sistem pengurusan sisa.
"Pembuangan haram di Kampung Tambak Jawa, Selangor, apabila dram yang mengandungi bahan kimia berbahaya terbakar dan meletup pada Isnin, selain 250 dram gliserin yang ditemui di tebing Sungai Klang adalah petunjuk membimbangkan mengenai peningkatan pembuangan sisa secara rahsia dan haram," menurut kenyataan itu.
Untuk mengurangkan pembuangan secara haram, MPMA dan MPRA menggesa pihak berkuasa untuk memeriksa dan memahami di mana dan kenapa kepincangan itu berlaku dan atasi jurang tersebut untuk mewujudkan pengurusan sisa yang lebih berkesan bagi Malaysia.
Ini memerlukan kerjasama lebih luas antara pihak yang terlibat daripada pengawal selia kepada perniagaan, industri dan isi rumah, kata mereka.
"Pembuangan haram didorong insentif dan kemudahan ekonomi dan ketiadaan hukuman atau penguatkuasaan yang tidak berkesan. Pembuangan haram seperti membuang sampah juga merupakan isu tingkah laku yang tidak boleh ditangani melalui larangan.
"Ia mesti ditangani sebagai isu infrastruktur dan sistem rekaan dan bukan hanya isu penguatkuasaan. Analisis yang teliti mesti digunakan untuk mengenal pasti langkah atau campur tangan dasar dalam reka bentuk sistem pengurusan sisa yang berkesan," menurut kenyataan itu.
BACA: Kebakaran dan letupan di kawasan tempatkan 270 tong bahan kimia
Mereka menambah kitar semula adalah komponen utama sistem pengurusan sisa yang berkesan dan memainkan peranan penting dalam melindungi alam sekitar.
"Ia adalah elemen penting bagi ekonomi pusingan apabila bahan buangan menjadi sumber yang berharga, untuk dikitar semula sebagai bahan mentah, dibuat produk baharu dan tidak dibuang, ini mengurangkan keperluan untuk mengekstrak lebih banyak sumber semula jadi dan kesan terhadap alam sekitar," menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA
#bahan kimia berbahaya #MPMA #MPRA #pembuangan sisa #penguatkuasaan #pengurusan sisa #Persatuan Pengilang Plastik Malaysia #Persatuan Pengitar Semula Plastik Malaysia
;