MPM komited jayakan inisiatif wujudkan Sekolah Sukan Pendidikan Khas
Bernama
Ogos 22, 2023 04:06 MYT
Ogos 22, 2023 04:06 MYT
KUALA LUMPUR: Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) komited untuk terus bekerjasama rapat dengan Kementerian Pendidikan (KPM) dalam mewujudkan Sekolah Sukan Pendidikan Khas (SSPK) di Bandar Enstek, Nilai, Negeri Sembilan.
Presidennya, Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin yakin kepakaran dan pengalaman luas yang dimiliki MPM dapat membantu KPM menyelaraskan hal-hal berkaitan sukan bagi golongan Orang Kurang Upaya (OKU) bagi SSPK, yang dijangka beroperasi menjelang 2025.
Beliau berkata hal ini terutamanya dalam proses mengklasifikasi atlet mengikut kecacatan, supaya atlet berkenaan boleh bersaing dalam klasifikasi yang betul bermula di peringkat sekolah lagi dan membantu dalam proses menjadi atlet yang lebih profesional.
"Klasifikasi sangat penting bagi memastikan atlet itu bersaing dalam kategori kecacatan yang betul. Contohnya, seseorang atlet yang tiada keseluruhan kaki dan seorang lagi yang tiada sebahagian kaki, mungkin berada dalam klasifikasi yang berlainan.
"Selain itu, MPM juga mempunyai pengalaman dalam pembangunan bakat, dari peringkat akar umbi ke peringkat tertinggi dan boleh memastikan peraturan dan standard antarabangsa dipatuhi dalam pertandingan," katanya ketika dihubungi Bernama.
Mengulas tentang jenis sukan yang sesuai, Megat D Shahriman berkata sudah semestinya olahraga akan terus menjadi tumpuan, selain beberapa sukan berpotensi tinggi untuk menyumbang pingat di peringkat antarabangsa seperti renang, bola keranjang berkerusi roda, tenis berkerusi roda, bola tampar duduk dan powerlifting.
Bagi goalball, beliau berkata pembangunan sukan itu telah diwujudkan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pendidikan Khas, Setapak di sini.
Ahad lepas, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata KPM sedang memperincikan jenis sukan yang sesuai dengan murid berkeperluan pendidikan khas bagi silibus SSPK yang sedang dibangunkan untuk mencungkil potensi dan bakat pelajar golongan OKU.
Megat D Shahriman berkata pihaknya juga telah menyediakan rangka kerja bagi sekolah berkenaan, termasuk fasiliti yang diperlukan seperti gelanggang dan kolam renang.
"Sebenarnya idea mewujudkan sekolah bagi golongan OKU tercetus daripada MPM. Saya sebagai anggota Majlis Kebangsaan Bagi Orang Kurang Upaya (MKBOKU), kemudian telah membentangkan cadangan itu kepada mereka, sebelum bawa cadangan ini kepada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta KPM.
"Syukur alhamdulillah, KPM telah menerima baik cadangan berkenaan. Sekolah sukan ini bukan sahaja untuk membangunkan bakat sukan para dan Paralimpik, tetapi juga untuk temasya lain seperti Sukan Olimpik Khas Dunia dan Deaflympics," katanya.
-- BERNAMA