MPLPU pandang serius amalan plagiat di kalangan ahli akademik

Bernama
Jun 23, 2019 06:30 MYT
Proses menghapuskan amalan memplagiat ini akan tetap menjadi agenda di semua universiti awam Malaysia agar sistem pendidikan negara tidak dipandang rendah. - Gambar hiasan
Majlis Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Awam (MPLPU) memandang serius amalan plagiat atau mencedok karya orang lain yang dilihat semakin berleluasa di kalangan ahli akademik di universiti-universiti di Malaysia.
Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti (LPU) Universiti Utara Malaysia (UUM) yang juga merangkap Pengerusi MPLPU, Datuk Prof Dr Sudin Haron berkata sikap memplagiat hasil kerja orang lain merupakan satu kesalahan yang serius dan perlu diberi perhatian.
"Perbuatan memplagiat itu dianggap telah melakukan kecurangan akademik dan membolehkan siasatan dalaman serta tindakan disiplin dibuat terhadap individu atau kumpulan yang meniru atau menumpang nama pada sesebuah hasil karya orang lain," katanya dalam kenyataan di sini, pada Ahad.
Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai artikel bertajuk 'Publish or Perish, or just steal it. A peek into academic theft in Malaysia universities' di sebuah portal, pada Sabtu.
Prof Dr Sudin berkata isu memplagiat hasil kerja orang lain itu perlu diberi perhatian sepenuhnya bagi memastikan pembangunan tamadun modal insan yang berkualiti dan berintegeriti.
"Pada masa ini, setiap universiti mempunyai peraturan yang jelas mengenai perkara itu, malah sudah ada perisian khusus untuk menentukan tahap keaslian sesebuah kerja akademik yang dihasilkan.
"Proses untuk menghapuskan amalan memplagiat ini akan tetap menjadi agenda di masa sekarang dan masa hadapan oleh semua universiti awam Malaysia agar sistem pendidikan negara tidak dipandang rendah," katanya.
-- BERNAMA
#akademik #Cetak rompak #kerja akademik #Lembaga Pengarah Universiti Awam #Malaysia #MPLPU #Pakatan Harapan #pendidikan #Pengerusi MPLPU #Peraturan #perisian #plagiat #Portal #tahap keaslian #universiti awam
;