MPIC komited pastikan harga sawit, getah kekal stabil - Mohd Khairuddin
Bernama
Disember 2, 2020 05:02 MYT
Disember 2, 2020 05:02 MYT
KUALA LUMPUR: Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi akan terus berusaha menstabilkan harga sawit dan getah dan membantu meringankan beban pendapatan pekebun-pekebun kecil agrikomoditi melalui pelaksanaan pelbagai langkah yang dirancang.
Menterinya, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata antara langkah yang telah diambil bagi sektor sawit adalah mempelbagaikan produk minyak sawit terutamanya dalam produk hiliran seperti oleokimia, produk khusus, biobahan api dan produk akhiran.
Katanya kementerian juga telah meningkatkan lagi usaha pembaharuan produk supaya lebih banyak produk akhiran minyak sawit dapat dihasilkan untuk pasaran khusus.
Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat kepada Noorita Sual (PH-TENOM) yang meminta menyatakan langkah-langkah terbaru yang diambil oleh kementerian dalam menaikkan harga komoditi getah dan kelapa sawit serta program bantuan untuk pekebun kecil yang terlibat dalam komoditi ini.
Katanya pihak kementerian juga sentiasa komited dalam meneroka pasaran baharu bagi meningkatkan lagi jumlah eksport minyak sawit mentah (MSM).
Selain itu, beliau berkata pasaran negara yang mula mengimport kembali minyak sawit pada Januari hingga Ogos 2020 ialah Marshall Island, Nicaragua dan Venezuela.
"Kali terakhir Marshall Island mengimport minyak sawit Malaysia adalah pada 2011 manakala Nicaragua dan Venezuela pada 2016. Kuantiti dan nilai eksport minyak sawit bagi ketiga-tiga negara tersebut bagi tempoh Januari hingga Ogos 2020 adalah sebanyak 67 tan dengan nilai RM217,280," katanya.
Bagi sektor getah, Khairuddin berkata kerajaan telah meningkatkan penggunaan getah dalam negara bagi mengukuhkan harga getah untuk jangka sederhana dan panjang.
Katanya ini termasuk penggunaan getah dalam pembinaan jalan raya dan penghasilan produk-produk baharu dan bernilai tambah berasaskan getah seperti seismic bearing, sarung tangan getah dan lain-lain.
"United Arab Emirates (UAE) adalah negara pasaran baharu dan Malaysia mula mengeksport getah asli ke negara tersebut sejak tiga tahun lalu di samping produk sedia ada yang lain seperti sarung tangan getah dan kasut.
"Pada Januari hingga September 2020, eksport Malaysia ke UAE bagi getah asli dan produk getah sebanyak RM287.9 juta atau peningkatan sebanyak 11.6 peratus berbanding tempoh sama pada 2019," katanya.
-- BERNAMA
#Mohd Khairuddin Aman Razali
#Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi
#harga sawit
#harga getah
#pekebun kecil agrikomoditi
#oleokimia
#biobahan api
#produk akhiran