MPI rancang perkenal 'master class', dikendali nama besar bidang kewartawanan

Bernama
Ogos 25, 2022 05:15 MYT
Chamil berkata MPI sentiasa berusaha memperkasa program latihannya yang berbentuk jangka pendek. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Malaysian Press Institute (MPI) merancang memperkenalkan program master class yang akan dikendalikan nama-nama besar dalam bidang kewartawanan, perhubungan awam dan komunikasi korporat.
Pengerusi MPI Datuk Dr Chamil Wariya berkata antara tokoh yang bakal ditampilkan untuk program berkenaan ialah Tan Sri Johan Jaaffar (bual bicara televisyen), Datuk A.Kadir Jasin (penulisan kolum), Dr T. Selva (pengurusan krisis), Datuk Yong Soo Heong (penulisan bisnes), Premesh Chandran (pengurusan media) dan Dr Prebagaran Jayaraman (pengucapan awam).
Berucap pada majlis graduasi program Train-the-Trainer (TTT) MPI pada Khamis, beliau berkata tokoh-tokoh wartawan antarabangsa turut akan diundang bagi menganjurkan master class MPI.
Sebagai sebuah pusat latihan kewartawanan terulung di negara ini, Chamil berkata MPI sentiasa berusaha memperkasa program latihannya yang berbentuk jangka pendek.
"Antara program besar yang pernah kita adakan adalah International Journalism Fellowship selama tujuh tahun menggunakan geran kerajaan bernilai RM5 juta, Zamalah Wartawan 1Malaysia dan beberapa yang lain.
"MPI juga pernah bekerjasama dengan Universiti Utara Malaysia mengadakan kelas pada peringkat Sarjana Sains Komunikasi Pengurusan untuk para wartawan kanan," katanya.
Selain memperkasa program latihan MPI dengan membantu penceramah tetapnya diiktiraf sebagai Certified/Accredited Trainer HRD Corp, beliau berkata MPI juga membeli sebuah unit pejabat di Radius Business Park, Cyberjaya untuk dijadikan satu lagi pusat latihan yang kini berada pada peringkat akhir ubah suai dan dapat digunakan mulai pertengahan September ini.
Katanya dengan dua pusat latihan itu, membolehkan MPI merancakkan kursus berkaitan kewartawanan, pengurusan media, perhubungan awam serta komunikasi korporat.
Chamil berkata mulai tahun depan, unit latihan MPI turut diwajibkan menganjurkan sekurang-kurangnya 24 program latihan yang diharapkan boleh menjana pendapatan atau perolehan RM360,000 kepada badan berkenaan.
"Sasaran saya adalah akhirnya nanti, MPI berupaya mengadakan program latihan mingguan dengan memanfaatkan sepenuhnya infrastruktur latihan yang kita sediakan.
"Hasrat saya adalah untuk menjadikan MPI sebagai penyedia latihan yang setanding dengan kursus-kursus yang disediakan oleh Institut Pengurusan Malaysia (MIM) dalam bidang kewartawanan," katanya.
Beliau berkata MPI juga terbuka untuk mengadakan kerjasama dengan pihak lain yang berminat untuk menganjurkan program latihan berkaitan kewartawanan, media, perhubungan awam dan komunikasi korporat.
-- BERNAMA
#malaysian press institute #chamil wariya #kewartawanan #master class
;