MPI mohon kerajaan sediakan pakej rangsangan bantu organisasi media

Harits Asyraf Hasnan
Mac 10, 2021 19:24 MYT
Ketua Pegawai Eksekutif MPI, Datuk Chamil Wariya berkata, terdapat entiti media yang terpaksa menghentikan operasinya. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Malaysian Press Institute (MPI) memohon kerajaan menyediakan pakej rangsangan bagi membantu organisasi media yang terkesan akibat pandemik COVID-19.
Ketua Pegawai Eksekutif MPI, Datuk Chamil Wariya berkata, terdapat entiti media yang terpaksa menghentikan operasinya.
"Ini penting kerana jika tidak dibantu lebih ramai lagi pengamal media akan kehilangan pekerjaan malah ada entiti media terpaksa menghentikan operasinya.
"MPI turut mencadangkan pakej rangsangan tersebut boleh berbentuk pengurangan cukai korporat, pengecualian cukai jualan dan perkhidmatan (SST) yang dikenakan terhadap produk media dan pembelian ruang iklan secara agresif oleh kerajaan untuk menyebarkan mesej-mesej kepada khalayak menerusi media," ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, pakej rangsangan itu penting untuk memastikan media di negara ini kekal sihat dari segi ekonomi dan kewangan bagi membolehkan mereka memainkan peranan sebagai penyedia maklumat yang sahih dalam memerangi berita-berita palsu.
Selain itu, MPI turut mengalu-alukan keputusan Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) bagi menubuhkan sebuah yayasan bertujuan untuk menjaga kebajikan wartawan dan pengamal media negara ini terutamanya mereka yang kehilangan pekerjaan akibat pandemik COVID-19.
"Penubuhan ini perlu disegerakan kerana menurut NUJ (Kesatuan Wartawan Kebangsaan), sejak dua hingga tiga tahun yang lalu, seramai 3,000 pengamal media hilang pekerjaan akibat gangguan digital dan pandemik COVID-19," ujarnya.
Beliau turut meminta kerajaan memberi peruntukan secukupnya bagi memastikan yayasan tersebut berfungsi dengan lebih berkesan.
MPI pada masa sama turut menyokong cadangan Kelab Akhbar Kebangsaan yang mencadangkan supaya pengamal media diberi keutamaan mendapatkan suntikan vaksin COVID-19 kerana terdedah kepada risiko jangkitan.
#Media #cabaran industri media #yayasan media Malaysia #KKMM #Kementerian Komunikasi dan Multimedia #malaysian press institute #COVID-19 #pandemik #pakej rangsangan media #Datuk Chamil Wariya
;