MPFN tidak beri kelulusan projek tebus guna tanah P. Pinang

Astro Awani
April 19, 2019 16:27 MYT
KHALID: Kerajaan negeri juga dinasihatkan terus mengadakan perundingan bersama masyarakat setempat dan rakyat yang akan terkesan daripada pembangunan ini dan memastikan keperluan mereka diberi perhatian sewajarnya. - Gambar fail
Majlis Perancang Fizikal Negara (MPFN) tidak membuat sebarang kelulusan atau persetujuan ke atas Projek Tebus Guna Tanah Selatan Pulau Pinang atau Penang South Reclamation (PSR).
Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abd Samad berkata MPFN yang bersidang pada Khamis, mendengar dan mempertimbangkan Cadangan Pelan Induk PSR selaras dengan peruntukan perenggan 2A(2)(b) Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172).
“Majlis tidak membuat sebarang kelulusan atau persetujuan ke atas projek tersebut,” katanya dalam satu kenyataan berhubung pelan induk PSR itu.
Khalid berkata, MPFN telah menasihati kerajaan Pulau Pinang melalui 18 nasihat yang digariskan, berserta dengan ulasan dan nasihat-nasihat tambahan daripada beberapa kementerian.
Kementerian terbabit adalah Air, Tanah dan Sumber Asli; Pembangunan Luar Bandar; Pertanian dan Industri Asas Tani; Pengangkutan; Hal Ehwal Ekonomi serta Perumahan dan Kerajaan Tempatan.
"Kerajaan negeri juga dinasihatkan untuk terus mengadakan perundingan bersama masyarakat setempat dan rakyat yang akan terkesan daripada pembangunan ini dan memastikan keperluan mereka diberi perhatian sewajarnya,” katanya.
BACA: Kesan aktiviti penambakan laut Pulau Pinang dikaji
Khalid berkata, permohonan itu juga perlu mendapatkan kelulusan Laporan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) dan Laporan Penilaian Impak Sosial (SIA) daripada agensi yang berkenaan.
"Memandangkan permohonan yang dikemukakan ini berbentuk pelan induk, ia perlu dikemukakan semula untuk mendapatkan nasihat Majlis di bawah subseksyen 22(2A), Akta 172,” katanya.
BACA: DUN P.Pinang lulus usul tergempar tambakan laut
Pada Khamis, Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow berkata cadangan projek tambakan laut di perairan selatan Pulau Pinang itu diluluskan selepas dibentangkan kepada MPFN di Kuala Lumpur.
Chow dilaporkan berkata MPFN yang dipengerusikan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bersetuju dengan pelaksanaan PSR, dan kerajaan negeri perlu mematuhi 18 nasihat ditetapkan.
#Chow Kon Yeow #EIA #kelulusan #Khalid Abd Samad #Majlis Perancang Fizikal Negara #masyarakat setempat #MPFN #nasihat tambahan #pelan induk #Penang South Reclamation #persetujuan #projek tambakan laut #PSR #pulau pinang #rundingan #SIA #tebus guna tanah
;