MPBPP perkenal Skim Latihan Pengurusan Rumah Tangga
Bernama
September 6, 2020 04:19 MYT
September 6, 2020 04:19 MYT
Majlis Pembangunan Bumiputera Pulau Pinang (MPBPP) akan memperkenalkan Skim Latihan Pengurusan Rumah Tangga kepada lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi membolehkan mereka meneroka kemahiran dalam bidang pengurusan rumah tangga.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Datuk Shabudin Yahya berkata skim latihan yang pertama kali diperkenalkan itu bertujuan membuka peluang pekerjaan kepada Bumiputera di negeri ini sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing.
Beliau yang juga Pengerusi MPBPP berkata melalui skim berkenaan, ia dapat menyediakan tenaga kerja berkemahiran tinggi yang mampu menjana pendapatan sehingga RM3,000 sebulan dalam bidang pengurusan rumah tangga.
"Skim ini melatih bumiputera yang berminat di dalam menyediakan perkhidmatan rumah tangga sebagai orang yang menjaga urusan-urusan pembersihan dalaman rumah, penjagaan kanak-kanak serta menjaga orang sakit di rumah.
"Kami akan mengiktiraf bidang ini dan sediakan nama atau jawatan sesuai seperti pembantu rumah profesional, tetapi gelaran jawatan diberikan selepas bidang ini mendapat pengiktirafan kerajaan menerusi Kementerian Sumber Manusia," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis penutupan 'retreat' MPBPP di sini pada Ahad.
Menurut Shabudin, perbincangan dan kerjasama sedang dijalankan dengan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Pulau Pinang dan beberapa kolej komuniti di negeri itu bagi merangka modul sesuai untuk skim latihan berkenaan.
"Kami boleh mendapatkan perkhidmatan atau bekerjasama dengan UiTM dan kolej komuniti untuk dapat subsidiari kepada kursus itu dan melatih pelajar lepasan SPM dalam kemahiran pengurusan rumah tangga seperti menguruskan kebersihan dan sebagainya.
"Dari situ kami masukkan pelajar ini sebagai satu kumpulan berkemahiran tinggi dalam pengurusan rumah tangga dengan penerimaan gaji bersesuaian," katanya.
Dalam pada itu, Shabudin berkata usaha MPBPP memperkenalkan skim latihan itu dapat meningkatkan 'status quo' bidang pembantu rumah yang sering dipandang rendah oleh sesetengah pihak di samping menyelesaikan permasalahan golongan suami isteri bekerja yang berdepan isu penjagaan anak dan sebagainya.
"Kami mahu mereka tidak dianggap sebagai pembantu rumah seperti yang semua orang faham sekarang, sebaliknya mereka adalah profesional yang dilatih dan tahu kerja yang mereka patut buat.
"Dengan adanya tenaga kerja berkemahiran tinggi seperti ini, kami boleh memasarkan tenaga kerja sebegini ke negeri-negeri lain juga," katanya.
-- BERNAMA
#Bumiputera
#kebergantungan
#kemahiran tinggi
#kolej komuniti
#MPBPP
#pekerja asing
#peluang pekerjaan
#pembantu rumah
#pengurusan rumah tangga
#pulau pinang
#Shabudin Yahya
#skim latihan
#SPM
#tenaga kerja
#UiTM