MP pembangkang cadang LGBT dikategorikan masalah mental

Astro Awani
Mei 23, 2023 15:56 MYT
Perkara itu dikemukakan Jamaludin (bawah) ketika mencelah perbahasan Halimah (atas) bagi RUU Kesihatan Mental (Pindaan 2023) di Dewan Rakyat, hari ini. -Foto YouTube Parlimen
KUALA LUMPUR: Seorang Ahli Parlimen pembangkang hari ini mencadangkan agar golongan lesbian, gay, biseksual, dan transgender (LGBT) dikategorikan dalam masalah kesihatan mental.
Perkara itu dikemukakan Jamaludin Yahya (PN-Pasir Salak) ketika mencelah perbahasan Halimah Ali (PN-Kapar) bagi Rang Undang-Undang (RUU) Kesihatan Mental (Pindaan 2023) di Dewan Rakyat, hari ini.
"Adakah (Ahli Parlimen) Kapar setuju bahawa golongan LGBT juga dicadangkan dimasukkan dalam masalah kesihatan mental?" tanya Jamaludin ketika mencelah perbahasan Halimah.
Halimah ketika menjawab celahan itu kemudian memohon agar cadangan Jamaludin dimasukkan sebagai sebahagian daripada ucapan perbahasannya.
"Terima kasih Pasir Salak (Jamaludin), kira masuklah tu dalam ucapan saya," katanya.
Pada masa sama, Halimah berkata, kecelaruan mental termasuk kecenderungan membunuh diri adalah isu yang besar dan semua kementerian berkaitan bersama-sama mengatasinya secara tuntas.
"Isu kesihatan mental ini adalah isu yang besar, lagi tentang pekerja dan generasi masa depan.
"Ini adalah peratusan yang besar dan saya bersetuju supaya bukan sahaja Kementerian Kesihatan tetapi semua kementerian perlu duduk bersama-sama mengatasi secara tuntas untuk mengatasi masalah kepada mereka yang celaru mental ini sehingga sanggup untuk membunuh diri," kata Halimah lagi.
Dalam bacaan kali pertama pada April lalu, Rang Undang-Undang Kesihatan Mental (Pindaan) 2023 antara lain membolehkan pegawai intervensi krisis menangkap mana-mana orang yang cuba membunuh diri.
Rang undang-undang bagi meminda Akta Kesihatan Mental 2001 (Akta 615) itu dibentangkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.
Selain itu, pegawai intervensi krisis boleh semasa menjalankan kuasa di bawah subseksyen (2) untuk memecah buka mana-mana pintu atau tingkap luar atau dalam mana-mana premis dan masuk ke dalam, atau selainnya masuk secara paksa ke dalam premis dan mana-mana bahagian premis itu atau memindahkan secara paksa apa-apa halangan kepada laluan masuk itu.
#LGBT kesihatan mental #Dewan Rakyat #RUU Kesihatan Mental #Halimah Ali
;