MP Labuan Rozman Isli gagal batal pertuduhan guna kedudukan dapatkan kontrak
Bernama
Ogos 11, 2022 13:11 MYT
Ogos 11, 2022 13:11 MYT
KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak permohonan Ahli Parlimen Labuan Datuk Rozman Isli untuk membatalkan pertuduhan yang dihadapinya iaitu menggunakan kedudukan bagi mendapatkan kontrak pekerjaan untuk Syarikat Labuan Liberty Port Management Sdn Bhd (LLPM).
Pesuruhjaya Kehakiman (JC) Roz Mawar Rozain yang menolak permohonan itu berkata mahkamah mendapati pertuduhan terhadap Rozman selaku pemohon adalah sah di sisi undang-undang dan tidak cacat.
"Pendakwaan telah melaksanakan budi bicaranya ujian undang-undang dan bukti keterangan yang menghasilkan izin untuk mendakwa. Cerita politik pemohon adalah lain dan berasingan daripada bukti hasil siasatan yang menyebabkan pertuduhan itu. Pemohon mempunyai peluang untuk mempertahankan kedudukannya jika tidak bersalah.
"Jika motif berunsur politik untuk mendakwa itu satu pembelaan kepada pertuduhan atau ada kena-mengena dengan kredibiliti saksi, maka tertuduh ada peluang untuk menyangkal kes pendakwan kelak. Akan tetapi di tahap ini, ia adalah pramatang untuk membatalkan pertuduhan.
"Mahkamah akan memutuskan sama ada pertuduhan berjaya atau gagal dibuktikan terhadap pemohon setelah mendengar keterangan kesemua saksi. Oleh itu, mahkamah ini tidak boleh membenarkan permohonan ini dan kes ini perlu diteruskan dengan perbicaraan yang ditetapkan di Mahkamah Sesyen sebelum ini," kata JC Roz Mawar.
Sehubungan dengan keputusan tersebut, perbicaraan kes itu yang dijadualkan hari ini dan esok di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Rozina Ayob diteruskan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Feisal Mohd Azmi manakala peguam Muhammad Rafique Rashid Ali mewakili Rozman.
Sebelum ini, Muhammad Rafique berhujah bahawa mahkamah mempunyai kuasa sedia ada untuk membatalkan atau mengetepikan pertuduhan yang dikenakan terhadap Rozman iaitu pertuduhan itu adalah berniat jahat dan bersifat penindasan selain penyalahgunaan proses mahkamah serta berunsur politik.
Sementara itu, Ahmad Feisal berhujah pertuduhan yang dikenakan terhadap pemohon adalah terang dan jelas malah pihak pendakwaan akan membuktikan semasa perbicaraan yang bermula pada 11 Ogos.
Pada 4 April lepas, Rozina (Hakim Mahkamah Sesyen) menolak permohonan Rozman untuk membatalkan pertuduhan itu, berikutan itu pada 11 Mei lepas, Rozman sekali lagi memfailkan permohonan untuk membatalkan pertuduhan yang dihadapinya di Mahkamah Tinggi.
MAHKAMAH-ROZMAN 3 (AKHIR) KUALA LUMPUR
Rozman, 57, didakwa sebagai seorang pegawai badan awam iaitu Timbalan Pengerusi Lembaga Pelabuhan Labuan, telah menggunakan kedudukan untuk mendapatkan suapan iaitu kontrak pekerjaan sebagai operator Dermaga Merdeka Pelabuhan Labuan bagi LLPM, yang bapa dan adik lelakinya mempunyai kepentingan.
Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di Bilik Mesyuarat TKSU, Aras 9, Kementerian Pengangkutan Malaysia, Jalan Tun Hussein, Presint 4, Putrajaya antara 2.30 hingga 5.30 petang pada 21 Mac 2018, mengikut Seksyen 23(1) Akta SPRM dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama, yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun serta denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
-- BERNAMA