MP Ipoh Barat gagal cabar pelantikan Menteri dan Timbalan Menteri

Bernama
Julai 30, 2013 16:06 MYT
Anggota Parlimen Ipoh Barat M. Kula Segaran hari ini gagal untuk mendapatkan perisytiharan bahawa pelantikan dua menteri dan tiga timbalan menteri sebelum mereka mengangkat sumpah sebagai senator adalah tidak sah dan batal serta tidak berkuat kuasa.
Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Zaleha Yusof menolak permohonan Kula Segaran bagi kebenaran semakan kehakiman terhadap pelantikan Datuk Seri Abdul Wahid Omar dan Datuk Paul Low Seng Kuan sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan P. Waythamoorthy, Dr Loga Balan Mohan Jaganathan dan Datuk Ahmad Bashah Hanipah sebagai timbalan menteri.
Zaleha dalam keputusannya berkata tiada peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan yang menghalang pelantikan sebagai anggota Dewan Negara sebelum mereka (menteri dan timbalan menteri) mengangkat sumpah sebagai Senator.
"Saya merujuk kepada undang-undang. Pada pandangan saya selepas membaca Perlembagaan Persekutuan, dilantik dan mengangkat sumpah adalah dua perkara berbeza," katanya.
Beliau membuat keputusan itu selepas meneliti permohonan Kula Segaran dan hujahan bertulis difailkan kedua-dua pihak. Pada 19 Jun, Kula Segaran memfailkan permohonan menamakan dua menteri dan tiga timbalan menteri itu sebagai responden, mendakwa pelantikan mereka bercanggah dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan.
Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail dan Peguam Kanan Persekutuan Amarjeet Singh mewakili responden manakala pemohon diwakili peguam R. Kengadharan dan A.Sivanesan.
Zaleha juga berkata seorang menteri boleh dilantik tetapi mengikut Klausa 6, Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan, beliau (menteri) tidak boleh menjalankan tugasnya sebelum beliau mengangkat sumpah jawatan.
"Sepertimana yang saya katakan, alasan bagi permohonan ini adalah responden-responden belum mengangkat sumpah sebelum pelantikan mereka. Jadi, berdasarkan ini, saya bersetuju dengan responden-responden, bahawa tidak ada kes untuk dipertikaikan dalam permohonan ini," katanya.
Oleh yang demikian, Zaleha menolak permohonan kebenaran itu tanpa mengeluarkan sebarang perintah mengenai kos.
Kula Segaran dalam permohonannya memohon perintah bagi diisytiharkan kelima-lima responden tidak berhak di sisi undang-undang untuk memegang jawatan menteri dan timbalan menteri mengikut Perkara 43 dan pelantikan mereka pada 15 Mei tahun ini adalah tidak sah dan batal.
Anggota Parlimen itu yang juga naib presiden DAP, memohon semua emolumen, keistimewaan dan manfaat kewangan lain yang diperoleh responden, dikembalikan dalam masa tujuh hari mulai tarikh mahkamah mengeluarkan perintahnya.
Kula Segaran juga memohon mendapatkan relif bahawa semua tindakan yang dilakukan atau atas perintah atau melalui kuasa setiap responden, diisytihar sebagai tidak sah dan batal.
Bagi menyokong afidavitnya, beliau menyatakan bahawa mengikut Perkara 43(2) Perlembagaan Persekutuan, seseorang menteri mesti dilantik daripada kalangan anggota Dewan Negara atau Dewan Rakyat dan perkara sama terpakai bagi timbalan menteri mengikut Perkara 43A(1).
Sebaliknya, kata beliau, semua responden dilantik tanpa terlebih dahulu mengangkat sumpah sebagai mana-mana anggota dewan itu pada 15 Mei.
"Walaupun responden mengangkat sumpah sebagai menteri dan timbalan menteri, mereka bukan anggota Dewan Negara ketika mereka menerima pelantikan pada 15 Mei kerana mereka belum mengangkat sumpah sebagai senator sebelum pelantikan masing-masing," katanya.
Bercakap kepada pemberita, Kengadharan berkata beliau menimbangkan untuk memfailkan rayuan terhadap keputusan hari ini kerana ia melibatkan isu perlembagaan.
#Ipoh Barat #M. Kula Segaran #menteri #Timbalan Menteri
;