MP Bayan Baru kutuk tindakan Alvin Tan persenda azan

Haider Yutim
April 21, 2015 07:45 MYT
Tindakan itu sebagai satu tindakan ekstremisme kerana ianya bukan hanya menghina umat Islam tetapi menghasut kepada kebencian agama. - Foto Facebook
Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin (PKR) mengutuk tindakan blogger kontroversi, Alvin Tan yang mempersendakan azan dalam sebuah video di laman Facebooknya.
Beliau menyifatkan tindakan itu sebagai satu tindakan ekstremisme kerana ianya bukan hanya menghina umat Islam tetapi menghasut kepada kebencian agama.
"Hakikat bahawa dia telah melakukan perkara begini beberapa kali, hanya membuktikan niat jahatnya. Perbuatan menghasut sebegini serta mencetuskan kebencian antara agama, tiada tempat untuk masyarakat berbilang kaum dan agama.
"Tindakannya juga akan memberi nama buruk kepada golongan bukan Islam (dan menimbulkan persepsi) bahawa orang bukan Islam tidak sensitif terhadap agama Islam.
"Saya perlu menegaskan bahawa majoriti bukan Islam menghormati kesucian Azan dan Islam sebagai sebuah agama," kata Sim dalam satu kenyataan pada Selasa.
Bagaimanapun beliau menyeru masyarakat Islam dan bukan Islam agar bertenang dan tidak terjatuh dalam perangkap golongan ekstremis ini sehingga lupa kepada sikap toleransi antara agama dan kaum.
Alvin dalam posting Facebook terbarunya sekali lagi mempersendakan Islam menerusi sebuah video memaparkan 'azan' versi R&B.
BACA: Alvin Tan dikecam persenda laungan azan
BACA: Saya tak akan pulang walau dibentang karpet merah - Alvin Tan
Video berdurasi 2 minit 50 saat itu mengundang kecaman dan kemarahan masyarakat Islam yang rata-ratanya dari Malaysia dengan menyifatkan sendaan itu sebagai kurang ajar dan biadap.
#Alvin Tan #Azan #Bayan Baru #Facebook #persenda #Sim Tze Tzin
;